• Bunuh, Masak, Hidang Anjing Jiran

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    Petani membunuh dan memasak anjing belaan jirannya yang tidak henti menyalak sebelum menghidangkan daging haiwan itu kepada tuannya dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan pengguna internet Korea Selatan.

    Lelaki, 62, yang tidak didedahkan identitinya itu mengaku melakukan kesalahan berkenaan selepas seorang jiran lain memaklumkan keluarga pemilik anjing itu.

    Dia mendakwa berang kerana anjing terbabit tidak henti-henti menyalak menyebabkannya membaling batu yang terkena pada kepala haiwan berkenaan.

    Seorang detektif yang menyiasat kes di Pyeongtaek itu berkata: “Selepas anjing itu pengsan, suspek mengaku mencekiknya sebelum memasaknya, kemudian menjemput pemiliknya dan menghidangkannya daging haiwan berkenaan.”

    Kes itu diketahui umum selepas anak perempuan pemilik anjing itu membuat rayuan terbuka di Internet menggesa sokongan orang ramai untuk mendesak pesalah terbabit dikenakan hukuman tegas dengan petisyennya mendapat 15,000 tandatangan.

    “Dia beriya-iya mengucapkan simpati ketika kami memberitahu mengenai kehilangan anjing kami, sedangkan ketika itu haiwan kesayangan kami ada di rumahnya, sama ada hidup atau mati,” katanya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bunuh, Masak, Hidang Anjing Jiran "