• Bubar DUN, Azmin Akan Menghadap Sultan Selangor

    Published: Friday, 6 April 2018
    A- A+

    SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh diperkenan baginda bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

    Ia bagi membolehkan satu pilihan raya negeri Selangor diadakan.

    Mohamed Azmin dalam satu kenyataan ringkas, berkata ia dibuat selaras Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

    "Saya sudah mengambil maklum pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa pada esok.

    "Saya akan menghadap Sultan Selangor bagi menyampaikan nasihat untuk mendapat perkenan baginda bagi pembubaran DUN Selangor.

    "Saya akan menghadap Sultan Selangor pada tarikh diperkenankan baginda bagi mendapat perkenan Tuanku untuk pembubaran DUN Selangor supaya proses pilihan raya negeri ke-14 dapat diadakan," katanya.

    Sementara itu, difahamkan Mohamed Azmin dijangka menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pembubaran DUN Selangor pada Isnin atau Selasa depan.

    Kira-kira sejam lalu, Najib mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok dalam siaran langsung disiarkan melalui stesen televisyen dan secara dalam talian dari Putrajaya.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Bubar DUN, Azmin Akan Menghadap Sultan Selangor "