• Borang Pencalonan Dijual Sehingga Jumaat

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 26 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang berhasrat menjadi calon pilihan raya umum ke-14 masih boleh mendapatkan borang-borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, sehingga Jumaat.

    Timbalan Setiausaha Strategik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Norzawatil Amali Alias berkata pembelian borang masih dibuka dan bagi mereka yang ingin menjadi calon boleh mendapatkan borang di SPR negeri-negeri dan SPR ibu pejabat di Putrajaya sehingga pukul 5 petang Jumaat (27 April).

    “SPR sudah bersedia sepenuhnya dengan persiapan hari pencalonan dengan menetapkan pegawai pengurus yang berpengalaman di 222 pusat pencalonan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan 1Malaysia Negaraku terbitan Bernama Radio, membicarakan tentang ‘Urusan Penamaan Calon’.

    Penamaan calon PRU14 ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 9 Mei, manakala pengundian awal 5 Mei.

    Norzawatil Amali berkata pusat penamaan calon itu akan dibuka selama sejam bermula 9 pagi sebelum ditutup untuk memberi peluang kepada pegawai pengurus pilihan raya menyemak setiap kertas penamaan calon dan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.

    Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, beliau menasihatkan semua calon supaya datang awal ke pusat penamaan calon masing-masing kerana kelewatan menghantar kertas pencalonan boleh menyebabkan kertas pencalonan ditolak dan tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya.

    Beliau berharap agar para penyokong bagi calon-calon yang bertanding dalam PRU14 menjaga perlakuan dan sentiasa bersabar bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang provokasi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Borang Pencalonan Dijual Sehingga Jumaat "