• BN Tak Tergugat Di Selangau - Masing

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 28 April 2018
    A- A+
    Foto Harun Yahya
    SELANGAU: Kedudukan Barisan Nasional (BN) tidak sedikit pun terjejas di Parlimen Selangau di sebalik ketiadaan penyandangnya, Datuk Joseph Entulu yang dipecat dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) walaupun dijangka berdepan tentangan hebat Pengerusi PKR negeri, Baru Bian.

    Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing menyatakan keyakinan BN mampu mengekalkan penguasaan di kerusi itu melalui calon wanita ditampilkan parti pimpinannya, Rita Sarimah Patrick Insol, yang mencipta sejarah sebagai wanita Dayak pertama diketengahkan sebagai calon pilihan raya umum.

    "Beliau (Rita) bukan orang sebarangan kerana berpengalaman luas dalam bidang perundangan, selain aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak dan Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak.

    "Tiada masalah untuk mengekalkan kemenangan BN di kawasan ini walaupun bakal berdepan tentangan hebat pembangkang kerana beliau anak jati Selangau yang memiliki ramai saudara mara di sini berbanding pembangkang yang menampilkan orang luar," katanya di sini, hari ini.

    Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kehadiran 50.3 peratus pengundi wanita di Parlimen Selangau juga berperanan penting dalam mencorakkan kejayaan Rita di kerusi berkenaan.

    Sementara itu, pengumuman Entulu yang juga bekas Timbalan Presiden PRS dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tidak bertanding di kerusi berkenaan memberi kelegaan kepada pelbagai pihak, khususnya pucuk pimpinan parti pernah dianggotainya itu.

    Beliau ketika mengumumkan perkara itu turut menyatakan kesetiaannya kepada BN, selain meminta penyokong setianya terutama dalam kalangan penduduk rumah panjang di Parlimen Selangau agar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Rita.

    Ia sekali gus menamatkan spekulasi kononnya Entulu akan bertanding atas tiket Bebas susulan pemecatannya sebelum ini.

    Berikutan perkembangan itu, kerusi berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rita dan Baru yang sudah pasti menjadi tumpuan utama dalam PRU14 di Sarawak.

    Rita yang diiringi pencadang, Datuk John Sikie Tayai dan penyokong, Christopher Gira Sambang, menyerahkan borang penyertaannya kira-kira jam 9.05 pagi di Dewan Serbanguna Selangau, disusuli Baru bersama pencadang, Jimbah Agan serta penyokong, Simon Joseph kira-kira lima minit kemudian.

    Keseluruhannya, Parlimen Selangau memiliki 30,026 pemilih berdaftar, dengan majoritinya adalah pengundi Iban. - BH Online
  • No Comment to " BN Tak Tergugat Di Selangau - Masing "