• BN Selesai Umum Calon Semua Kerusi Parlimen, DUN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Penamaan barisan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini selesai dengan pengumuman calon oleh tiga lagi negeri iaitu Sabah, Pahang dan Perlis, hari ini.

    Pengumuman yang dibuat oleh pengerusi BN negeri masing-masing yang menggandingkan calon-calon baharu dan berpengalaman, jelas memperlihatkan keseriusan BN untuk mengukuhkan asas masing-masing selain menyediakan platform untuk pemimpin pelapis menonjolkan kepimpinan.

    Di PAHANG, pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan manakala beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Pelangi.

    Selain Najib, tujuh lagi penyandang kekal bertanding di kerusi Parlimen masing-masing termasuk Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Datuk Seri Ismail Said (Kuala Krau).

    Empat calon baharu untuk kerusi Parlimen juga ditampilkan kali ini termasuk Datuk Wong Kiew Lee (Kuantan), Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Indera Mahkota Johan Mat Sah (Indera Mahkota) dan Wong Tai Cei (Mentakab).

    Dua calon yang membuat penampilan semula juga turut dipertandingkan iaitu Ketua Pemuda MIC Datuk C Sivarraajh (Cameron Highlands) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Raub).

    Sivarraajh dan Chew yang masing-masing pernah bertanding di DUN Buntong, Perak pada PRU13 dan DUN Kajang, Selangor pada 2014, namun kecundang.

    Untuk kawasan DUN, sebanyak 13 muka baharu dipertaruhkan, yang kebanyakannya daripada MCA.

    Mereka ialah Leong Tack Man (Tanah Rata), Lee Ah Wong (Cheka), Eng Lek Pong (Tras), Lim Chow Lee (Damak), Kuek Tei Sion (Semambu), Tee Choon Ser (Teruntum), Wong Tai Cei (Mentakab), Poo Moon Hiong (Bilut).

    Calon muka baharu daripada UMNO ialah Nadzri Ngah (Pulau Tawar), Datuk Seri Tengku Zulkifly Tengku Ahmad (Tanjung Lumpur), Abdul Rahim Muda (Lepar), Datuk Nor Azmi Mat Ludin (Kuala Semantan) dan Ir Razali Kassim (Muadzam Shah).

    Barisan calon BN Pahang kali ini juga menyaksikan tiga penyandang kerusi DUN digugurkan iaitu Datuk Seri Maznah Mazlan (Muadzam Shah), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (Pulau Tawar) dan Datuk Lau Lee (Damak).

    Di SABAH, Pengerusi BN negeri yang juga Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga untuk penggal yang keenamnya 9 Mei ini.

    Bagi kerusi Parlimen, beliau turut mengumumkan bahawa 14 penyandang akan mempertahankan kerusi masing-masing.

    Mereka termasuk Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Pengerusi Felcra Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan).

    Bendahari UMNO dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga ADUN Usukan dinamakan sebagai calon bagi kerusi Kota Belud menggantikan penyandangnya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN yang berpindah ke kerusi Parlimen Sepanggar.

    Enam muka baharu juga diketengahkan kali ini termasuk anak-anak kepada pemimpin sedia ada. Mereka ialah Arthur Joseph Kurup yang menggantikan bapa beliau yang juga Presiden PBS Tan Sri Joseph Kurup, untuk bertanding di Pensiangan dan anak Musa, Yamani Hafez (Sipitang).

    Peguam muda berumur 27 tahun, Ceaser Mandela Makalun yang juga anak kepada ahli politik Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun pula akan bertanding di Penampang, Datuk Daniel Kinsik (Keningau) dan Datuk Joseph Lee (Kota Kinabalu).

    Juga menarik perhatian ialah pencalonan Ketua Penerangan UMNO Semporna Datuk Ramlee Marahaban yang akan bertanding di kerusi Parlimen Semporna dan dijangka berdepan pencabar yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan).

    Dalam pada itu, sebanyak 33 penyandang daripada 56 ADUN dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi DUN masing-masing manakala 18 lagi calon yang disenaraikan adalah muka baharu.

    Di PERLIS, Pengerusi BN Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan 10 daripada 18 calon PRU14 adalah muka baharu, termasuk kerusi Parlimen Kangar yang akan diwakili Ramli Shariff.

    Beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau , manakala Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man akan berpindah dari DUN Pauh ke Bintong.

    Calon muka baharu di DUN ialah Tei Cai Ann (Titi Tinggi), Rozaini Rais (Beseri), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Azizan Sulaiman (Santan), Chuah Tian Hee (Indera Kayangan), Hamizan Hassan (Kayang), Rozieana Ahmad (Pauh), Afifi Osman (Guar Sanji) dan Che Zaidi Saidin (Sanglang). – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " BN Selesai Umum Calon Semua Kerusi Parlimen, DUN "