• BN Sarawak Mahu 2 Wanitanya Dikekalkan Di Kabinet Pusat

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata BN Sarawak mahu dua wanitanya dikekalkan di kabinet Pusat jika menang 28 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Menteri menjelaskan, ia bagi memperkasakan wanita khasnya dari Sarawak dalam kabinet pusat.

    Tambahnya, ini adalah jaminan kepada Sarawak sekiranya BN Negeri mencapai sasaran memenangi 28 atau 29 daripada 31 kerusi Parlimen pada PRU14.

    “Mana pernah Sarawak diwakili dua menteri wanita dalam kabinet persekutuan sebelum ini dan mudah-mudahan ini dikekalkan.

    “Tan Sri (Shahrizat) jangan lupa kekalkan mereka berdua… minta diberitahu kepada perdana menteri bahawa wanita Sarawak bekerja kuat mempertahankan beliau,” ujarnya.

    Beliau berkata Sarawak berterima kasih kepada perdana menteri kerana mengiktiraf wanita dengan memperkasa peranan mereka.

    Bagi kerajaan negeri katanya, peranan wanita sentiasa diiktiraf kerana menyedari bahawa golongan itu amat penting membantu pembangunan negeri termasuk ekonomi digital.

    “Sarawak mempunyai wanita yang terlibat dengan perniagaan atas talian yang amat memberangsangkan.

    “Saya yakin dapat mencapai ekonomi digital untuk Sarawak atas bantuan wanita serta diiringi kaum lelaki,” tegasnya.

    Terdahulu, Sarawak setakat ini diwakili dua wanita di kabinet pusat iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    Abang Jo turut memaklumkan BN Sarawak menyasarkan 28 atau 29 daripada 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

    Abang Johari pada masa yang sama menyatakan komitmen Sarawak akan terus memastikan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai perdana menteri. – Sarawakiana
  • No Comment to " BN Sarawak Mahu 2 Wanitanya Dikekalkan Di Kabinet Pusat "