• BN Lancar Laman Web Berwajah Baharu, Mesra Pengguna

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) melancarkan laman web berwajah baharu yang lebih menarik dan mesra pengguna bermula semalam bagi memudahkan rakyat mendapat maklumat dengan lebih cepat.

    Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, laman web baharu itu dikemaskini dengan reka bentuk yang menarik demi kepuasan rakyat.

    Selain itu katanya, pelbagai maklumat terkini dimuat naik dalam laman tersebut sebagai salah satu kemudahan kepada orang ramai dalam mendapatkan maklumat secara menyeluruh.

    “Lebih menarik lagi, laman web BN merangkumi enam bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban dan Dusun.

    “Selain itu, laman web ini dilengkapi dengan ruangan ­khas bantuan kerajaan yang menyenaraikan lebih daripada 200 bantuan yang telah disalurkan kepada setiap kelompok masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, laman web itu turut mempunyai ruangan ‘Janji Ditepati’ dilengkapi dengan pencapaian 99.4 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

    “Terdapat juga ruangan lain seperti pencapaian negara dan kedudukan dunia menyenaraikan segala pencapaian negara dalam pelbagai aspek.

    “Laman ini turut dilengkapi dengan ruangan ‘Saya Nak’ khusus untuk memudahkan rakyat Malaysia mencari lokasi perkhid­matan yang disediakan oleh kerajaan dan agensi lain,” ujar­nya.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " BN Lancar Laman Web Berwajah Baharu, Mesra Pengguna "