• Bayi Telan Bateri Kalkulator

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: “Meskipun bayi saya kelihatan aktif dan ceria macam biasa, naluri seorang ibu mengatakan ada tak kena pada dirinya. Bagi mendapatkan kepastian saya bawa anak ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kerana naluri kuat mengatakan dia tertelan sesuatu.

    “Tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan saya ketika doktor sahkan anak memang tertelan objek. Selepas melakukan imbasan X-ray, barulah saya tahu anak tertelan bateri kalkulator,” kata Nuramirah Mohd Yusof, 27, ibu kepada bayi berusia 13 bulan Muhammad Izz Nuqman Badi’uzzaman.

    Menceritakan kejadian di kediamannya di Puncak Alam, Selangor, di sini, jam 5 petang 28 Mac lalu Nuramirah berkata, hatinya terdetik Muhammad Izz Nuqman ditimpa perkara buruk selepas melihat kalkulator disusun di atas rak berhampiran tempatnya membaca buku terhempas ke lantai.

    Katanya, dia terus mengambil kalkulator itu kerana risau Muhammad Izz Nuqman, mencapai serpihan daripada kalkulator terbabit yang dikhuatiri pecah.

    “Hati saya berdebar sejurus meneliti belakang kalkulator berkenaan kerana skrunya sudah tercabut manakala bateri hilang. Jadi saya terus buka mulut Muhammad Izz Nuqman untuk melakukan pemeriksaan kalau ada benda asing, tetapi gagal mengesan sebarang objek mencurigakan.

    “Saya cuba cari semula bateri itu sampai jam 8 malam tapi masih tak jumpa, kerana tak sedap hati saya hubungi suami ketika itu berada di China atas urusan kerja. Suami nasihatkan saya supaya bawa anak ke klinik pemeriksaan lanjut.

    “Hasil pemeriksaan di klinik pertama dan kedua doktor menolak kemungkinan anak tertelan bateri, kerana tidak menunjukkan tanda-tanda seperti muka berubah kebiruan,” katanya.

    Oleh kerana khuatir Nuramirah, merujuk bayinya ke sebuah klinik di Puncak Alam dan hasil imbasan X-Ray doktor mengesahkan Muhammad Izz Nuqman, tertelan bateri kalkulator yang ketika itu dikesan tersekat pada ususnya.

    Doktor merujuk Muhammad Izz Nuqman ke sebuah hospital di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibedah untuk mengeluarkan bateri itu.

    Menurutnya, doktor berjaya mengeluarkan bateri berkenaan yang ketika itu sudah berkarat meskipun kurang 24 jam berada di dalam badan anaknya.

    “Doktor beritahu bateri itu masih aktif dan sudah bertindak balas dengan badan, sekali gus membahayakan nyawa anak jika lambat bertindak.

    “Selain itu, doktor beritahu jika lebih empat hari di dalam badan, anak saya boleh koma berpanjangan atau maut,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Bayi Telan Bateri Kalkulator "