• 'Ayam Vietnam' Belum Sempat 'Berkokok' Selepas Dicekup

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    Belum sempat mendapat ‘mangsa’, seorang wanita warga Vietnam dipercayai pelacur dicekup Jabatan Imigresen negeri dalam Op Mega di Kompleks Perniagaan Gangsa Fasa 2, dekat Alor Setar, petang semalam.

    Ketika tangkapan, wanita berusia 22 tahun itu disyaki sedang menunggu pelanggan di hadapan sebuah hotel kira-kira jam 6.30 petang.

    Wanita itu antara tiga warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama dua jam itu.

    Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, dalam Op Mega yang disertai 13 anggota itu, seramai enam warga asing termasuk rakyat tempatan diperiksa membabitkan dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya itu.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripadanya terdiri dua wanita Thailand dan seorang wanita Vietnam berusia antara 22 dan 43 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

    "Serbuan pertama di hadapan hotel di Jalan Gangsa, kami menahan seorang wanita warga Vietnam, diikuti lokasi kedua di premis pusat urut di Pekan Baru Simpang Kuala, dua wanita warga Thailand ditahan.

    "Ketika serbuan di lokasi kedua ini, dua wanita terbabit cuba melarikan diri menerusi pintu belakang apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di aras bawah premis dua tingkat itu, tetapi berjaya ditahan," katanya.

    Zuhair berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita warga Vietnam itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah manakala dua wanita Thailand itu telah melanggar syarat pas diberikan.

    Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

    Ketiga wanita itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ayam Vietnam' Belum Sempat 'Berkokok' Selepas Dicekup "