• Antiberita Tidak Benar: Tidak Wujud 'pendakwaan berpilih'

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan kesalahan-kesalahan di bawah Rang Undang-Ășndang Antiberita Tidak Benar 2018 ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah dan bukannya kerajaan.

    Beliau berkata tidak wujud soal 'pendakwaan berpilih'kerana keputusan terhadap setiap kesalahan di bawah undang-undang itu bergantung atas keterangan berdasarkan siasatan lengkap, dan seseorang individu hanya akan didapati bersalah apabila mahkamah menentukannya.

    "Ini bukan undang-undang yang pemerintah, kerajaan atau menter membuat keputusan.

    "Undang-undang ini diwujudkan supaya mana-mana pihak yang merasakan menjadi mangsa dalam kesalahan berita palsu, boleh pergi ke mahkamah memohon perintah sementara supaya mahkamah boleh keluarkan perintah berita itu diturunkan," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyathari ini.

    Di bawah RUU ini, akta yang dicadangkan adalah untuk melindungi orang awamdaripada penyebaran berita tidak benar dan pada masa sama memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

    Mengulas lanjut, Azalina menarik perhatian bahawa tidak timbul soal akta itu sebuah akta drakonian kerana ia berbeza dengan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan pada 15 Sept 2011.

    Dalam pada itu, Azalina juga menyangkal dakwaan anggota pembangkang sewaktu perbahasan bahawa RUU itu diperkenalkan kerajaan secara tergesa-gesa.

    "Jika bukan sekarang, bila lagi? Apabila proses penggubalannya, pentadbiran dan penguatkuasaannya boleh diakses, adil dan efisien, maka ia dilaksanakan tepat pada masanya.

    "Isu penyebaran berita tidak benar adalah masalah global yang perlu ditangani dengan segera seiring perkembangan teknologi komunikasi yang semakin pantas dan kompleks," katanya.

    Selain itu, katanya, walaupun ada peruntukan dalam RUU terbabit telah sedia ada di bawah akta lain, namun RUU ini lebih bersifat eksklusif, khas diwujudkan bagi menangani masalah berita tidak benar.

    Azalina menjelaskan bahawa akta sedia ada bagi mengekang penyebaran berita tidak benar antara lain Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Komunikasi dan Multimedia masih tidak dapat mengawal isu ini dengan efektif dan pantas, tambahan dengan kesalahan yang kompleks seiring peredaran teknologi.

    "Saya menyatakan bahawa undang-undang ini diwujudkan tidak bererti undang-undang yang ada peruntukan tentang berita palsu tak boleh dipakai, tetapi boleh pakai, dalam bentuk komplimentari," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Antiberita Tidak Benar: Tidak Wujud 'pendakwaan berpilih' "