• Akta Antiberita Tidak Benar bukan strategi kerajaan menang PRU14

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+
    KOTA TINGGI, 12 April (Bernama) -- Pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diwartakan mulai semalam bukanlah strategi pihak kerajaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya akta berkenaan bertujuan untuk melindungi rakyat secara umum.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata undang-undang itu bukan satu undang-undang yang menafikan hak untuk bersuara tetapi ia adalah masalah umum supaya rakyat dapat perlindungan.

    Menurutnya, undang-undang berkenaan membantu mengeluarkan berita palsu dari platform media sosial, kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Mahkamah Baharu Pengerang, dekat sini, hari ini.

    "Seperti mana yang dijelaskan dalam sidang parlimen bahawa undang-undang berkenaan akan meletakkan keutamaan kepada rakyat.

    Kita tahu rakyat yang jadi mangsa berita palsu perlu mendapatkan perlindungan dan undang-undang ini tidak wujud eksklusif di mana ada juga undang-undang lain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang masih boleh berjalan tertakluk yang wajar dipakai dalam kes-kes tertentu," katanya.

    Azalina turut mempersoalkan sekiranya kerajaan berniat meletakkan undang-undang itu sebagai satu strategi PRU yang memberi kekuatan kepada kerajaan, kenapa perlu diberikan kuasa menentukan berita itu palsu atau tidak kepada mahkamah.

    "Kenapa tidak kerajaan bawa undang-undang ini dan letakkan menteri atau kerajaan, agensi sebagai kata putus berita itu benar atau tidak," kata beliau lagi.

    Sementara itu, Azalina berkata Pengerang bakal mendapat dua mahkamah baharu iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret bernilai RM25 juta, yang dijangka siap dibina menjelang tahun 2020.

    "Banyak elemen pembangunan peringkat antarabangsa akan berlaku. Jadi persediaan dari segi mahkamah dan hakim perlu dan wajar diadakan," katanya.

    Kedua-dua mahkamah berkenaan akan dibina di atas tapak seluas 0.809 hektar di Bandar Penawar, dekat sini dengan pembinaan dijangka bermula September ini.

    Azalina berkata pembinaan kompleks mahkamah itu menunjukkan komitmen tinggi kerajaan yang sentiasa berpandangan jauh dalam merancang keperluan pembangunan infrastruktur fizikal mahkamah.

    Bangunan setinggi dua tingkat berciri moden itu akan dilengkapi satu bilik bicara Mahkamah Sesyen dan satu bilik bicara Mahkamah Majistret selain dilengkapi kamar hakim, pejabat pendaftaran dan pentadbiran, ruang awam dan komersial serta ruang bagi pengurusan polis serta orang kena tahan. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Akta Antiberita Tidak Benar bukan strategi kerajaan menang PRU14 "