• Ahli Politik Korup Dipuji Trump Kena Penjara 15 Tahun

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 25 April 2018
    A- A+
    BEKAS speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Setya Novanto dihukum penjara 15 tahun selepas didapati bersalah terlibat dengan kes rasuah.

    Keputusan mahkamah tersebut dianggap sebagai satu ‘kemenangan’ buat pegawai antirasuah di negara itu yang telah berusaha untuk mengekang aktiviti rasuah yang semakin berleluasa.

    Setya pernah dipuji Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai seorang yang ‘menakjubkan’ dan ‘individu yang sangat berkuasa’ kepada pihak media dalam satu pertemuan pada tahun 2015.

    Malahan dalam satu sidang media sebelum beliau dilantik menjadi presiden, Trump menjemput Setya ke hadapan mikrofon dan kemudiannya memuji mantan speaker DPR itu.

    Setya sememangnya merupakan penyokong tegar Trump membuat kemunculan mengejut pada sidang media bakal Presiden AS ketika itu di Trump Tower pada September 2015 bersama seorang lagi ahli politik Indonesia, Fadli Zon.

    Bagaimanapun pendakwa raya Indonesia mengatakan Setya adalah salah seorang daripada 80 pegawai, ahli politik dan syarikat yang telah mengambil kesempatan terhadap pengenalan sistem elektronik kad pengenalan.

    Projek nasional itu bernilai AS$440 juta (RM1.7 bilion) dan mereka dikatakan mencuri lebih satu pertiga daripada nilai tersebut untuk kepentingan peribadi.

    Mahkamah juga mendapati Setya hidup mewah dengan jutaan dolar duit rakyat dengan menggunakan kuasa dan peluang yang dimiliki melalui kedudukannya dalam bidang politik negara tersebut.

    Selain itu, majlis hakim turut mewajibkan Setya membayar semula wang sebanyak AS$7.3 juta (RM28.5juta) yang telah diterimanya sewaktu skandal tersebut dan akan dikenakan tambahan hukuman penjara dua tahun lagi jika penjualan asetnya tidak capai jumlah tersebut.

    Malah, Setya juga diharamkan daripada memegang apa-apa jawatan politik selama lima tahun selepas menjalani hukuman yang ditetapkan.

    Hukuman penjara tersebut adalah kurang setahun daripada hukuman yang diminta pendakwa raya yang mahukan Setya dikenakan penjara selama 16 tahun. Kes rasuah ini juga mendapat perhatian meluas rakyat Indonesia.

    Ini memandangkan usaha Setya yang beberapa kali cuba mengelak daripada melalui soal siasat bersama Suruhanjaya Pembanteras Rasuah Indonesia membuatkan orang ramai berang dengan tindakannya itu.

    Pada November tahun lalu, Setya mengalami kemalangan apabila kenderaan dinaikinya melanggar tiang elektrik, satu kes yang dapat cemuhan netizen kerana dianggap sebagai taktik lepas diri daripada ditahan pihak berkuasa.

    Dia kemudiannya ditahan di sebuah hospital selepas para doktor yang merawatnya mendapati dia sebenarnya berupaya untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah.

    Sepanjang perbicaraan itu, Setyo mengaku tidak bersalah dan cuba mendapatkan ihsan mahkamah dengan memberikan informasi mengenai mereka yang terlibat dalam skandal itu sebagai Justice Collaborator namun ditolak mahkamah.

    Menurut Hugo Brennan yang merupakan penganalisis senior Asia di Verisk Maplecroft melalui bahagian perundingan risiko perniagaan dan politik, hukuman itu merupakan sesuatu yang baik dan mengekang aktiviti rasuah di Indonesia.

    “Hukuman 15 tahun penjara kepada tokoh yang pernah berkuasa seperti Setyo akan membuatkan individu berkuasa di Indonesia fikir dua kali untuk mengambil bahagian dalam perbuatan rasuah,” katanya dipetik Daily Mail. – MYNEWSHUB.CC/EZ

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Politik Korup Dipuji Trump Kena Penjara 15 Tahun "