• 9 Khabar Gembira Penjawat Awam, Pesara Kerajaan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    Kerajaan hari ini mengumumkan sembilan khabar gembira masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh negara.

    Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

    Antara 'buah tangan teristimewa' diterima penjawat awam adalah pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

    Najib berkata, pemberian kenaikan bersamaan satu KGT itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

    “Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat tambahan satu lagi KGT di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi 2018,” katanya.

    Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju memendekkan tempoh kenaikan pangkat berasaskan 'time based' kepada kakitangan kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

    Menurutnya, pelaksanaan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta dengan 13,006 pegawai terbabit.

    Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun di Gred 54.

    “Ia sekali gus memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta berkuat kuasa 1 Januari 2019,” katanya.

    Najib berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak dan memberi faedah kepada 42,867 pegawai berkuat kuasa 1 Julai 2018.

    Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju menyumbang sekurang-kurangnya RM3 juta setahun kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

    Bagi menghargai penjawat awam bukan beragama Islam menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing, Najib berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum sepanjang tempoh perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2018 kepada penjawat awam berkenaan.

    Sebelum ini, katanya, kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam bagi tujuan menunaikan umrah.

    “Kerajaan turut mengumumkan tiga berita gembira kepada lebih 800,000 pesara kerajaan termasuk satu peratus kenaikan kadar pencen secara one-off mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2018 sebagai tambahan kepada dua peratus diterima pesara pada 1 Januari 2018.

    “Selain itu, kerajaan bersetuju memberi geran khas masing-masing RM1 juta kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia; Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) bagi menganjurkan aktiviti persatuan dan kelab,” katanya.

    Bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang menunaikan fardu haji, Najib berkata, kerajaan bersetuju menetapkan satu kuota khas kepada kumpulan berkenaan sejurus mendapat kuota diperuntukkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 9 Khabar Gembira Penjawat Awam, Pesara Kerajaan "