• 61 Kali Lawat Sarawak Bukti Keprihatinan Najib - Nanta

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 10 April 2018
    A- A+

    SONG -- Kekerapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Sarawak menjadi bukti bahawa beliau seorang pemimpin yang mengambil berat dan prihatin dengan rakyat di negeri Bumi Kenyalang, kata Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata berikutan melakukan lawatan sebanyak 61 kali sejak menjadi perdana menteri pada 2009, Najib amat memahami hasrat rakyat Sarawak.

    "Inilah sebab mengapa kita harus mempertahankan dan mengekalkan beliau untuk menerajui kepimpinan kerajaan di negara ini (pada pilihan raya umum ke-14)," katanya.

    Menurutnya, ini berbeza dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang amat jarang melawat Sarawak sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

    Nanta yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada Majlis Kasihi Pekebun Kecil Peringkat Kapit dan Seminar Pembangunan Sosioekonomi Bagi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Daerah Song di sini, hari ini.

    Seramai 295 orang pekebun kecil, ketua masyarakat dan ketua kaum hadir pada majlis anjuran bersama oleh Risda dan Pejabat Daerah Song itu.

    Berhubung manifesto BN negeri yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam, Nanta berkata ia bukan omongan kosong.

    Sebagai contoh, Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang memantau pembangunan di kawasan itu turut dimasukkan di dalam manifesto itu dengan mengambil kira keperluan rakyat di kawasan itu, katanya.

    "Segala bentuk pembangunan akan dirangka mengikut keperluan rakyat dan bukannya berdasarkan kepada perancangan kerajaan semata-mata," katanya.- BERNAMA
  • No Comment to " 61 Kali Lawat Sarawak Bukti Keprihatinan Najib - Nanta "