• 60 Peluang Perniagaan Baharu Diwujudkan Sempena KOIL 2017 Anjuran MCMC

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 26 April 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR -- Sebanyak 60 peluang perniagaan baharu berjaya diwujudkan melalui program 'Kemaman Open Innovation Challenge' (KOIL 2017) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlansung baru-baru ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata program itu bukan sahaja melonjakkan status sosio ekonomi usahawan tempatan melalui platform digital malahan mampu melahirkan usahawan desa yang kompetitif dan berdaya saing di pasaran antarabangsa.

    "Berkonsepkan kepada pembangunan usahawan dan Pre-Accelerator, KOIL 2017 yang julung kali diadakan bematlamat untuk memperkasakan pertumbuhan sosio ekonomi Komuniti Pintar Kemaman dengan penjanaan idea-idea produk perniagaan usahawan tempatan menerusi penggunaan ICT (Teknologi Maklumat) dan Komunikasi," kata kenyataan itu.

    Menurut MCMC usaha itu juga adalah program perdana pembangunan usahawan yang selari dengan Rancangan Malaysia ke-11 yang menyaksikan usahawan tempatan diberi pendedahan mengenai teknologi innovatif bagi membangun dan mengembangkan perniagaan seperti pengurusan perniagaan, pemasaran dalam talian dan pembangunan penjenamaan.

    Katanya program itu turut dijayakan menerusi kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman bersama rakan strategik Telekom Malaysia Berhad (TM).

    Pada program itu juga sejumlah sembilan idea perniagaan terpilih dianugerahi hadiah keseluruhan bernilai RM15,000 manakala lima idea daripada perniagaan itu telah disenarai pendek untuk peringkat berikutnya.

    Lima idea perniagaan disenarai pendek itu ialah Pau Rosalinda (makanan), Ootozz Shopper's Minion (aplikasi mudah alih), Craft DIY (kraftangan), Humayraa (penternakan kelulut dan penghasilan produk penjagaan kecantikan) dan PEMBEKU (pemusatan usahawan IKS makanan dan minuman sejuk beku).

    Menurut MCMC semua idea itu akan dinilai sekumpulan panel dalam tempoh terdekat ini bagi memilih tiga idea perniagaan yang terbaik untuk merebut KOIL Pre- Seed Funding yang keseluruhannya bernilai RM75,000.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 60 Peluang Perniagaan Baharu Diwujudkan Sempena KOIL 2017 Anjuran MCMC "