• 4,866 polis Sarawak digerakkan ke 31 Pusat Penamaan Calon

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+
    KUCHING 27 April - Seramai 4,866 polis Sarawak digerakkan ke 31 Pusat Penamaan Calon di negeri ini bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pada hari esok.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal berkata, pergerakan tersebut telah bermula sejak awal pagi tadi terutama bagi 10 Pusat Penamaan Calon yang berada di kawasan pedalaman.

    Katanya, daripada 4,866 polis bertugas, sebanyak 639 pegawai kanan polis manakala 4,227 pangkat rendah ditempatkan khususnya dalam 17 lokasi tumpuan (flashpoint) di Sarawak.

    “Selain itu, sebanyak 47 Unit Tempur Ringan (LSF) ditempatkan di seluruh Sarawak bagi bersiap sedia jika berlaku perkara tidak diingini.

    “Kita juga mempunyai 38 pasukan siasatan daerah bagi menyiasat sebarang kes berkaitan pilihan raya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini sebentar tadi.

    Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan IPK, Datuk Zamani Hamdan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 32 pasukan cantas JSJ juga bersiap sedia bertindak atas sebarang jenayah kekerasan dan unsur gengsterisme termasuk memantau 100 individu yang berpotensi menjadi ‘pengacau’ di negeri ini.

    Dalam pada itu, Amer mengingatkan agar wakil-wakil calon memohon permit bagi ceramah yang mahu dibuat ketika tempoh berkempen bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

    “Sejak 7 April sehingga hari ini, sebanyak 16 permit telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan.

    “Justeru itu, mereka diminta memohon asal permit agar pihak polis dapat memastikan kelancaran pergerakan di kawasan berkenaan disamping mengelakkan pertembungan antara dua parti,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

  • No Comment to " 4,866 polis Sarawak digerakkan ke 31 Pusat Penamaan Calon "