• 47 Ditahan Dalam 33 Serbuan Sepanjang Minggu

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 9 April 2018
    A- A+
    KUCHING: Seramai 47 individu yang disyaki terlibat kegiatan perjudian haram ditahan dalam 33 serbuan yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri sepanjang minggu dari 2 hingga 8 April 2018.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Dev Kumar berkata, daripada 33 serbuan itu, 26 serbuan melibatkan pusat menjual loteri haram, premis judi siber (6) dan berjudi di tempat awan (1).

    Katanya, kesemua individu ditahan berusia antara 17 hingga 58 tahun itu melibatkan 34 lelaki dan bakinya wanita.

    Serbuan dijalankan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Daerah ; JSJ IPK - 6 serbuan ( di Padawan), Kuching - 7 serbuan, Miri - 5 serbuan, Padawan - 3 serbuan, Sibu - 3 serbuan, Kota Samarahan - 2 serbuan, Bintulu - 2 serbuan, Sri Aman - 1 serbuan, Serian - 1 serbuan, Sarikei - 1 serbuan, Betong - 1 serbuan dan Mukah - 1 serbuan.

    Dev menegaskan, usaha membanteras judi dalam talian diteruskan dengan serbuan ke atas kedai serbaneka 24 jam dan kopi di enam daerah yang menawarkan perkhidmatan isian semula judi dalam talian.

    “Seramai 10 operator perkhidmatan itu ditahan bersama lapan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM7,085 dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

    Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, bagi serbuan di kaunter menjual loteri haram, seramai 32 individu ditahan dengan pelbagai peralatan berkaitan dirampas bersama wang tunai berjumlah RM7,700.

    “Kita juga berjaya menahan lima individu yang sedang leka bermain judi jenis holo di sebuah rumah di BDC di sini dan merampas wang tunai berjumlah RM2,141,” katanya.

    Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Sarawakiana
  • No Comment to " 47 Ditahan Dalam 33 Serbuan Sepanjang Minggu "