• 1MDB masih belum dihubungi oleh penyiasat antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 21 April 2018
    A- A+

    Tulisan asal oleh:
    Nyshka Chandran, CNBC, 20 April 2018

    1Malaysia Development Berhad (1MDB), firma pelaburan yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia yang dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, masih belum dihubungi oleh mana-mana penyiasat antarabangsa, menurut ketua syarikat itu.

    "Syarikat itu masih belum dihubungi oleh DOJ," kata CEO Arul Kanda Kandasamy kepada "Street Signs" CNBC pada hari Jumaat, merujuk kepada Jabatan Kehakiman AS. "Walaupun kami kekal bersikap terbuka dan telah menyatakan kesanggupan kami untuk memberi kerjasama, setakat ini, tidak ada pihak berkuasa antarabangsa yang menghubungi 1MDB."

    Bahagian jenayah Jabatan Kehakiman, yang mengendalikan kes pengubahan wang haram, masih belum memberi tindak balas setakat masa artikel ini diterbitkan apabila CNBC memohon ulasan mengenai penegasan Arul Kanda.

    Dakwaan pada tahun 2015 bahawa Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menerima berjuta-juta dalam akaun bank peribadinya daripada tabung 1MDB telah menyebabkan penyiasatan merangkumi AS, Switzerland, Singapura dan lain-lain.

    Najib - yang telah dibersihkan daripada sebarang tuduhan jenayah oleh peguam negara Malaysia - dan 1MDB telah menafikan sebarang salah laku.

    Penglibatan Jabatan Kehakiman AS

    Menurut tuntutan undang-undang sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman AS, kira-kira $4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB oleh pegawai dana dan sekutu mereka.

    "Dengan menggunakan dokumen dan perwakilan yang palsu, konspirator bersama itu didakwa mencuri dana menerusi satu siri transaksi yang kompleks dan syarikat yang digunakan sebagai kenderaan dengan akaun bank yang terletak di AS dan di luar negara," kata jabatan itu dalam kenyataan 2017. Urusniaga itu termasuk hak filem untuk filem Hollywood "Wolf of Wall Street," barang kemas dan karya seni yang bernilai berjuta-juta ringgit.

    Mengenai siasatan AS, Arul Kanda berkata ia "sangat spesifik berhubung penyitaan aset tertentu dan berkaitan dengan individu tertentu, jadi 1MDB bukan sebahagian daripada penyiasatan itu, kami bukanlah subjek siasatan itu."

    Kapal layar bernilai $250 juta yang dipercayai telah dibeli dengan wang 1MDB dan milik jutawan Malaysia Jho Low baru-baru ini telah disita di Bali.

    Skandal kewangan itu – yang merupakan salah satu daripada yang terbesar di dunia - telah menggegarkan politik Malaysia dan melibatkan pihak seperti Goldman Sachsand dan Hollywood.

    Keadaan kewangan 1MDB telah menjadi kebimbangan utama selepas kegagalan yang diketahui umum mengenai satu siri bon pada tahun 2016, yang mencetuskan kebimbangan bahawa Kuala Lumpur perlu untuk menyelamatkan dana itu.

    Arul Kanda, bagaimanapun, berkata kepada CNBC: "Saya sangat berbangga untuk mengatakan bahawa 1MDB tidak memungkiri sebarang kewajipan pembayarannya. Kami terus melangsaikan hutang itu."

    Hutang syarikat, katanya, berjumlah kira-kira $7.75 bilion, manakala 1MDB mempunyai aset hampir $11 bilion.

    Bon terakhir syarikat itu matang pada tahun 2039, tetapi bergantung kepada kadar dan kelajuan pembangunan aset, hutang itu boleh dilangsaikan lebih awal, katanya.

    "Pada tahun 2015, kami membentangkan pelan rasionalisasi untuk mengewangkan aset dari masa ke masa dan memenuhi obligasi hutang syarikat," kata eksekutif itu.

    Itu meningkatkan keyakinan di kalangan pelabur antarabangsa, katanya, sambil menambah bahawa mereka kini "berpuas hati dengan ketelusan dan keterbukaan syarikat ini dan kini komited untuk melabur dalam projek dari 1MDB."

    Link asal artikel:
    https://www.cnbc.com/2018/04/20/1mdb-is-financially-healthy-says-ceo-arul-kanda-kandasamy.html

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB masih belum dihubungi oleh penyiasat antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif "