• Warga Malaysia Ke-3 Paling Kurang Bercuti Di Dunia

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 2 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Warga Malaysia merupakan penduduk ketiga yang paling kurang bercuti di dunia dan menduduki tempat kedua di Asia Pasifik, menurut Expedia.com.my.

    Portal pelancongan dalam talian itu menyatakan bahawa berdasarkan kaji selidik tahunannya mengenai kekurangan percutian, hampir dua pertiga warga Malaysia yang ditinjau mendedahkan bahawa mereka sangat atau agak kurang bercuti.

    Pengurus Besar Expedia Asia Tenggara dan India, Simon Fiquet, berkata bahawa alasan utama kekurangan itu adalah masalah kewangan, keinginan untuk mengumpul hari cuti untuk bercuti lebih lama dan ketidakupayaan mengelak daripada kerja.

    Menurutnya, kaji selidik yang melibatkan 15,000 orang dewasa yang bekerja sepenuh masa di 30 pasaran, fenomena kekurangan percutian semakin meningkat di seluruh dunia, dengan 53 peratus responden merasakan bahawa mereka kurang bercuti pada 2017 berbanding 49 peratus pada 2016.

    “Berbanding Amerika dan Eropah, Asia-Pasifik mendahului kumpulan itu sebagai rantau paling kurang bercuti, dengan Korea Selatan menerajui senarai, diikuti Perancis dan Malaysia.

    “Malaysia berada di senarai lima teratas negara paling kurang bercuti sejak 2015,” katanya pada taklimat media mengenai hasil tinjauan berkenaan semalam.

    Fiquet berkata bahawa tinjauan itu juga menunjukkan seorang daripada tiga warga Malaysia akan memeriksa e-mel atau mel suara yang berkaitan dengan pekerjaan mereka sekurang-kurangnya sekali sehari semasa bercuti dan ini bermakna mereka tidak dapat menikmati percutian mereka sepenuhnya.

    Menurutnya, warga Malaysia menghargai cuti mereka dan menyatakan bahawa masa bercuti berkualiti adalah penting untuk daya penghasilan dan prestasi yang lebih baik. Ia juga merupakan aspek penting dalam keseimbangan kerja-kehidupan.

    Kaji selidik tersebut mendedahkan bahawa 77 peratus warga Malaysia bersetuju bahawa mereka menjadi lebih tenang selepas pulang daripada bercuti dan peratusan yang tinggi mengatakan mereka akan menjadi lebih produktif dan fokus serta dapat berfikir lebih holistik selepas bercuti.

    Encik Fiquet berkata, kaji selidik tersebut mendapati bahawa mereka yang terlibat dalam pemasaran dan industri berkaitan media adalah yang paling kurang bercuti di dunia, diikuti sektor makanan dan minuman serta pertanian.

    Sementara itu, Pakar Psikologi Organisasi dan Jurulatih Peribadi Bertauliah O Psych Sdn. Bhd., Hetal Doshi -Suhana Daswani berkata, tekanan tempat kerja dan peribadi semakin jejas kesejahteraan pekerja pada skala global.

    “Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah pun mengklasifikasikannya sebagai wabak kesihatan pada abad ke-21. Oleh itu, ambil masa untuk berehat atau bercuti.

    “Ia baik untuk pulih mental, fizikal dan emosi daripada tuntutan kehidupan telah terbukti secara saintifik dapat mengurangkan tekanan, meningkatkan kesihatan, daya penghasilan, kreatif dan hubungan.

    “Tidak hairanlah terdapat majikan mengamalkan kesejahteraan sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan mereka bagi meningkatkan pengalaman dan prestasi kakitangan di tempat kerja,” katanya. – BERNAMA/haa

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Malaysia Ke-3 Paling Kurang Bercuti Di Dunia "