• Warga Bangladesh dakwa disamun anggota JPJ

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipercayai mendalangi satu kes curi ke atas seorang lelaki warga Bangladesh berhampiran sebuah perhentian bas di Taman Wahyu, Jalan Ipoh di sini, 18 Februari lalu.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Ahmmed Faishal menunggang motosikal bersendirian dari Pasar Borong Selayang ke rumahnya di Jalan Tun Razak sebelum ditahan tiga individu beruniform dan memakai ves JPJ serta menaiki tiga motosikal jabatan itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, tiga suspek terbabit pada mulanya melakukan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati cukai jalan motosikal jenis Honda C100 ditunggangnya sudah tamat tempoh.

    "Suspek menyuruh mangsa membayar RM150 sebagai bayaran melepaskannya tetapi mangsa memberitahu dia tiada wang selain memberi alasan yang motosikal itu adalah milik rakannya.

    "Mangsa kemudian minta kebenaran untuk menelefon rakannya untuk meminta bantuan, bagaimanapun salah seorang suspek meminta mangsa menyerahkan telefon bimbitnya kerana mahu menghubungi sendiri rakan mangsa itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

    Katanya, suspek yang mengambil telefon bimbit mangsa kemudian menyuruh mangsa menunggu di tempat kejadian sebelum kesemua suspek beredar.

    "Mangsa menunggu di tempat kejadian sehingga jam 3.30 petang namun kesemua suspek tidak kembali sebelum cuba menghubungi telefon bimbitnya jenis Vivo V5S namun ia sudah dimatikan.

    "Menyedari ditipu, suspek membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati suspek dipercayai adalah anggota JPJ berdasarkan uniform, ves dan motosikal jabatan jenis Kawasaki Versys 650 yang digunakan dan dicam oleh mangsa menerusi contoh gambar yang ditunjukkan pegawai penyiasat," jelas beliau.

    Menurut Munusamy, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu kerana tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

    "Belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," kata beliau.

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Bangladesh dakwa disamun anggota JPJ "