• Wanita Indonesia dibunuh angkara cemburu

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+
    PULAU PINANG 14 Mac - Angkara cemburu, seorang wanita Indonesia dipercayai dibunuh teman lelakinya warga Nepal dalam kejadian di sebuah apartmen di Paya Terubong di sini.

    Mayat wanita berusia 25 tahun itu kemudiannya disembunyikan di dalam almari di rumah sewa teman lelakinya itu dan hanya ditemukan selepas rakan serumah suspek terhidu bau busuk malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis terpaksa memecahkan pintu bilik suspek yang dikunci selain memecahkan mangga almari sebelum menemukan mayat mangsa yang disimpan di dalamnya.

    Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dan suspek yang berusia 27 tahun tinggal di blok apartmen dan bekerja di kilang sama dan wanita itu juga pernah beberapa kali datang ke rumah suspek.

    "Kali terakhir suspek dilihat berada di rumah itu adalah pada Sabtu lalu dan polis kini sedang menjejakinya yang menghilangkan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut beliau, tiada kesan kecederaan luar ditemukan pada mayat wanita itu dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi esok.

    Tambahnya, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Indonesia dibunuh angkara cemburu "