• Wan Junaidi Puji Warga Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar Pamer Prestasi Cemerlang

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memuji warga kementeriannya yang menunjukkan prestasi cemerlang dan komitmen tinggi dalam menyempurnakan segala perancangan sepanjang tahun lepas.

    Beliau berkata, tahun 2017 juga menyaksikan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menempa pelbagai kejayaan.

    Malah menurutnya, seramai 40 pegawai kementeriannya dan 934 pegawai jabatan atau agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017.

    Seramai 35 pegawai kementerian tersebut pula menerima Anugerah Kecemerlangan NRE (AKNRE) dan sembilan orang menerima Anugerah Lama Berkhidmat(ALB).

    "Penghargaan yang diberikan ini menjadi tanda kesepaduan seluruh warga NRE dalam bersama-sama mengemudi bahtera NRE sekaligus menyemarak kejayaan dan kegemilangan kementerian diperingkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

    Antara kejayaan yang dilakar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun lepas melibatkan penggubalan dan kajian semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Law Reform), pewartaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (ABS), penubuhan galeri alam semulajadi, penyediaan kertas cadangan penambahbaikan dan pengukuhan modul biodiversiti dan alam sekitar bagi sekolah rendah dan menengah serta penjenamaan Hari Alam Sekitar Negara (HASN).

    Selain itu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut melakar kejayaan dalam pemantapan pengurusan ”household e- waste” negara serta menubuhkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dan seterusnya meneruskan kecemerlangan melalui penyertaan aktif Malaysia di persada antarabangsa dalam pelbagai forum mesyuarat, kunjungan hormat dan rundingan.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Wan Junaidi Puji Warga Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar Pamer Prestasi Cemerlang "