• Wan Junaidi Prihatin Kualiti Alam Sekitar

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak menjadi lokasi terbaru pemasangan stesen pengawasan kualiti air marin automatik.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemasangan stesen tersebut yang menelan belanja RM18 juta untuk tempoh 15 tahun.

    "Sebelum ini, saya mengarahkan Jabatan Alam Sekitar agar satu stesen pengawasan kualiti air marin automatik di pasang di sini (Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak)," katanya ketika merasmikan Stesen Pengawasan Kualiti Air Marin di Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak hari ini.

    Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak, beliau telah memastikan tahap pencemaran udara, air sungai dan air marin terus menurun.

    Untuk tujuan itu menurutnya, sebanyak 12 stesen pengawasan kualiti udara automatik, dua stesen pengawasan kualiti air sungai automatik, dua stesen pengawasan air marin automatik, 117 stesen persampelan manual air sungai dan 40 stesen manual pengawasan kualiti air marin dipasang di negeri ini.

    Tambahnya, program pengawasan kualiti alam sekitar (EQMP) menjadi salah satu inisiatif kerajaan menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) beliau pada 2016 dalam usaha memastikan sistem pengawasan kualiti alam sekitar yang lebih komprehensif dan mantap.

    "Program ini mula dilaksanakan sejak April 2017 dengan kos keseluruhan RM800 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 15 tahun," ujarnya.-Sarawakiana


  • No Comment to " Wan Junaidi Prihatin Kualiti Alam Sekitar "