• Wan Junaidi Berusaha Cari Dana Untuk Sambungan Projek Kawalan Hakisan Pantai Sebuyau

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    SEBUYAU: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan untuk memastikan sambungan kepada projek kawalan hakisan pantai di Sebuyau dapat diteruskan.

    Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penyambungan projek tersebut akan dilaksana mengikut fasa dalam usaha melindungi kawasan bersebelahan seperti Sungai Rama.

    “Insha Allah kementerian saya akan berusaha untuk mendapatkan tambahan peruntukan bagi memastikan sambungan kepada projek kawalan hakisan pantai ini akan dapat diteruskan dalam fasa-fasa yang berikutnya bagi melindungi kawasan-kawasan yang bersebelahan seperti di Kampung Sungai Rama,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, projek tersebut merupakan salah satu daripada projek diluluskan kerajaan dengan peruntukan RM5 juta.

    Tambahnya, kerja pembinaannya telahpun bermula pada 21 Disember tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

    “Sebagai permulaannya, projek ini hanya melibatkan pembinaan Struktur Lapis Lindung Batu atau Rock Revetment sepanjang 300 meter di jajaran yang telah dikenalpasti menghadapi masalah hakisan pantai yang kritikal.

    “Ini akan mampu mengatasi masalah ancaman hakisan terhadap harta benda awam terutamanya di kawasan Pusat Giat Mara ini,” ujarnya.

    Di samping itu katanya, ban sedia ada sepanjang 350meter akan turut dinaiktaraf iaitu ditambah paras ketinggiannya bagi menghalang limpahan ombak daripada memasuki kawasan Pusat Giat Mara dan kawasan kampung di sekitarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Wan Junaidi Berusaha Cari Dana Untuk Sambungan Projek Kawalan Hakisan Pantai Sebuyau "