• Wakil Rakyat Jangan Jadi 'Kelawar Politik'

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Selangor akan terus gagal dirampas Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika pemimpin serta ahli parti di negeri itu gagal bekerja sebagai satu pasukan.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap mementingkan diri sendiri harus diketepikan sama sekali dalam kalangan semua parti komponen BN, sekali gus memastikan kecacatan sifar bagi memenangi PRU-14.

    "Kita kena terjemahkan kesepakatan BN kerana kejayaan BN selama ini adalah berpaksikan kesepakatan.

    "Contohnya pada PRU-13, kita hanya menang Parlimen Kuala Selangor pun dengan 460 undi. Kita tidak menang dengan selesa dan banyak kerja kena buat lagi.

    "Ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Kuala Selangor pun kena beri perkhidmatan terbaik. BN mesti kekalkan DUN Jeram dan Bukit Malawati serta merampas kembali Ijok," katanya.

    Beliau berucap pada Program Sentuhan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, di Kuala Selangor, hari ini.

    Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

    Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, rakyat Selangor perlu menolak pemimpin bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya untuk mempengaruhi pengundi bagi menyokong parti tertentu.

    "Di Selangor ada golongan 'kelawar politik' yang hanya membuat kerja pada musim buah-buahan sahaja. Apabila tiba musimnya, kelawar ini akan berterbangan mencari buah.

    "Gaya politik ini menjadi amalan pentadbiran Kerajaan Selangor sekarang. Mereka menyimpan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan ke dalam rizab negeri untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa simpanan negeri dalam keadaan baik.

    "Apabila tiba musim pilihan raya, mereka guna duit yang disalurkan Kerajaan Persekutuan untuk laksanakan pelbagai projek untuk rakyat, kononnnya mereka sebuah kerajaan prihatin," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Wakil Rakyat Jangan Jadi 'Kelawar Politik' "