• Vivian ada niat terbit posting ‘bak kut teh’ - Pendakwa Raya

    Published: Thursday, 15 March 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Vivian Lee, bekas teman wanita blogger Alvin Tan, mempunyai niat untuk menerbitkan satu penerbitan menghasut yang mempersendakan agama Islam di laman Facebook mereka, 5 tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah perkara itu dibuktikan menerusi afidavit jawapan yang dibuat dan diikrarkan Vivian atau nama sebenarnya Lee May Ling dan Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee.

    “Afidavit itu bukanlah dibuat oleh seorang saksi yang telah mati atau gagal dikesan dan afidavit berkenaan turut digunakan dalam prosiding perbicaraan kes tersebut,” hujahnya.

    Wan Shaharuddin juga berhujah dalam afidavit berkenaan, Lee turut mengakui dia membuat posting itu, yang didakwa mengandungi perkataan yang berkecenderungan menghasut, dan mempunyai niat bersama Tan untuk menerbitkan posting berkenaan.

    “Saya merayu kepada mahkamah untuk mengetepikan hukuman penjara 5 bulan dan 22 hari yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen terdahulu serta memohon hukuman penjara setahun dikenakan terhadap Lee,” katanya.

    Sementara itu, peguam Chong Joo Tian mewakili Lee, yang turut hadir pada prosiding hari ini berhujah anak guamnya tidak mempunyai niat bersama bekas teman lelakinya untuk menerbitkan posting berkenaan dan wanita itu juga menafikan dia menerbitkan posting tersebut dalam Facebook mereka.

    “Saya memohon agar mahkamah ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini dan sekiranya rayuan terhadap sabitan gagal, saya mohon anak guam saya dikenakan hukuman denda berbanding penjara,” katanya.

    Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak kemudiannya menetapkan 10 April untuk keputusan rayuan kedua-dua pihak.

    Lee merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2016 yang menjatuhi hukuman penjara 5 bulan dan 22 hari selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

    Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara rayuan Lee didengar di Mahkamah Tinggi.

    Lee dan bekas teman lelakinya itu didakwa menerbitkan satu penerbitan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh…wangi, enak, menyelerakan!!!)’ yang mengandungi logo halal di laman Facebook mereka iaitu “Alvin dan Vivian-Alvivi”.

    Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Vivian ada niat terbit posting ‘bak kut teh’ - Pendakwa Raya "