• Video isteri dibelasah suami, rakan jadi viral

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 8 March 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera dibelasah suami dan rakan suaminya di Taman Sentosa, Klang, pagi tadi.

    Video rakaman suami wanita terbabit bersama rakannya membelasah mangsa dikesan viral dalam laman sosial sejak jam 11 pagi tadi, dipercayai dirakam dari atas sebuah premis oleh orang awam yang melihat kejadian itu di Kawasan Perindustrian Klang Jaya, Taman Sentosa, Klang.

    Dalam kejadian jam 9 pagi itu, suami wanita terbabit berbaju kelabu didapati memukul isterinya dengan sebilah parang, selain menendang dan menumbuk isterinya di tepi sebuah kereta PROTON Satria.

    Malah, kejadian itu juga turut disaksikan beberapa orang awam termasuk beberapa kanak-kanak yang berada di kawasan berhampiran.

    Selepas membelasah mangsa, suspek dan rakannya kemudian menarik isterinya masuk ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pada masa ini usaha mengesan lokasi mangsa dan suspek sedang dijalankan.

    "Sejak kejadian berkenaan dilaporkan bapa mangsa, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sudah menggerakkan pegawai dan anggota kami untuk menjejaki kenderaan dinaiki suspek.

    "Pada masa ini, kita tidak menolak kemungkinan mereka sudah berada di luar Lembah Klang," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berkenaan bermotifkan cemburu.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Video isteri dibelasah suami, rakan jadi viral "