• 'Ustaz' Penipu Pukau Peniaga

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    Menggunakan batu permata kononnya sebagai pelaris perniagaan sebelum memukau mangsanya untuk menyerahkan barang kemas.

    Demikian modus operandi lelaki warga Indonesia berusia 43 tahun itu yang aktif memperdaya 34 mangsanya membabitkan kerugian kira-kira RM500,000 sejak 2016.

    Bagaimanapun, lelaki yang menyamar sebagai ustaz dan bomoh itu, berjaya ditahan di Ayer Lanas, Jeli, 16 Mac lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, suspek ditangkap dengan bantuan orang awam 11 pagi selepas cuba memperdaya peniaga wanita berusia 40 an di pasar tani sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Katanya, pada mulanya suspek memberi wanita itu satu sampul surat berisi batu permata kononnya sebagai pelaris rezeki dengan syarat ia hanya boleh dibuka pada waktu petang.

    "Mangsa kemudian menyerahkan rantai, gelang, cincin dan anting-anting bernilai RM6,000 secara rela dalam keadaan tidak sedar seperti dipukau.

    "Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba tersedar dan segera meminta pertolongan dari peniaga lain sebelum suspek ditangkap di kawasan pasar tani itu.

    "Suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, siasatan awal suspek mendakwa batu permata kuning itu yang diambil dari Indonesia, dapat menjadi pelaris.

    "Modus operandi suspek adalah memukau mangsa dengan memberi batu permata kuning itu sebelum mangsa menyerahkan barang kemas secara rela.

    "Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah dalam kalangan peniaga pasar tani dari daerah ini, Pasir Puteh dan Jeli dengan kerugian antara RM5,000 hingga RM20,000 membabitkan pelbagai barang kemas," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ustaz' Penipu Pukau Peniaga "