• Usahawan Sarawak digesa manfaatkan MIHAS 2018

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+
    KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Usahawan Sarawak digesa memanfaatkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada April ini, sebagai platform untuk mereka mengetengahkan produk tempatan ke peringkat global.

    Pengarah Matrade Sarawak, Leany Mokhtar berkata ia juga berperanan sebagai saluran mempromosi produk tempatan bagi menggalakkan perkembangan perusahaan negeri ini, sekali gus melonjakkan jumlah eksport produk domestik ke global.

    "Ambilah peluang ini agar perusahaan anda dapat berkembang ke peringkat yang seterusnya. Malah, saban tahun Matrade mengalu-galukan pembabitan usahawan tempatan.

    "Di Sarawak, kita akan menghantar seramai lapan sehingga 11 usahawan setiap tahun. Apa yang pasti kesemua produk itu berpotensi yang besar untuk dipasarkan selain memiliki kriteria serta standard yang ditetapkan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat khas usahawan Sarawak bersama wakil Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (MITI) dan Matrade di sini hari ini.

    Pameran perdagangan halal global kali ke-15 itu akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 4 hingga 7 April depan dengan lebih 800 penyertaan termasuk dari Thailand, Indonesia, Taiwan, China dan Filipina.

    Mengulas penyertaan usahawan negeri itu kali ini, Leany berkata ia banyak melibatkan perusahaan minuman dan makanan (F&B).

    "Ini termasuk pes makanan, sambal Pak Leman serta produk minuman 3 in 1. Ini jelas menampakkan betapa bersemangatnya usahawan Sarawak untuk meninjau lebih banyak peluang peniagaan luar menerusi MIHAS 2018," katanya.

    Lapan syarikat Sarawak yang menyertai MIHAS 2018 adalah Foodtake Industries Sdn. Bhd, Kit Hin Company Sdn.Bhd, Qalha Enterprise, RN Keluarga, MUSC Food Industries Sdn.Bhd, Sixteen Twentynine Sdn Bhd, SPL Food Industries Sdn. Bhd dan Nicchi Beauty Company.

    Selain pameran, sesi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) iaitu pemadanan perniagaan bagi syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengetengahkan produk masing-masing, akan turut diadakan di MIHAS 2018 itu. -- BERNAMA
  • No Comment to " Usahawan Sarawak digesa manfaatkan MIHAS 2018 "