• Ular Sawa 'Muntah' Kucing

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+

    PENAMPANG: “Bukan kucing saja dibaham, sekali dengan rantai yang baru saya beli, semalam (kelmarin) turut ditelan ular itu,” kata Sahran Nurin, 35, mengenai kejadian kucing peliharaannya mati dibaham ular sawa batik di rumahnya berhampiran Taman Keluarga di Penampang, semalam.

    Dalam kejadian jam 9 pagi, wanita berkenaan bersama anak lelakinya musykil kucing kesayangannya tiada di rumah .

    Menurutnya, dia meminta anaknya yang berusia 14 tahun mencari kucing kesayangan yang diberi nama Kuning kerana bimbang ia dicuri.

    “Anak saya mencari di bawah rumah dan tidak lama selepas itu, dia memaklumkan seekor ular sedang menelan Kuning.

    “Saya meluru ke bawah rumah dan terkejut melihat ular terbabit memuntahkan Kuning.

    “Bimbang ular itu bertindak agresif, saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

    Sahran berkata, dia terkilan dan sedih melihat kucing yang dipeliharanya sejak kecil mati ditelan ular sawa berkenaan.

    Sementara itu, Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, empat anggota APM Kota Kinabalu ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kucing terbabit.

    “Sebaik tiba di lokasi, ular itu baru memuntahkan kucing milik wanita terbabit.

    “Operasi menangkap ular dijalankan menggunakan peralatan khas dan dalam tempoh lima minit anggota menangkap reptilia berkenaan,” katanya.

    Bonnie berkata, ular sepanjang empat meter dengan berat hampir 40 kilogram itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ular Sawa 'Muntah' Kucing "