• TV OKEY Mesej 2 Hala Untuk Rakyat Sabah, Sarawak

    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata saluran televisyen baharu, TV OKEY, yang dilancarkan malam ini berupaya mencapai dua objektif utama dasar penyiaran negara iaitu penyampaian berita atau mesej secara berkesan dan pembangunan industri kreatif di Sabah dan Sarawak.

    Perdana Menteri berkata melalui saluran televisyen yang dikhususkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan itu adalah mesej dua hala antara kerajaan dan rakyat dan sebaliknya dapat disalurkan secara langsung.

    “Kita nak bahawa mesej daripada rakyat kepada kerajaan. Maknanya, saluran tv ini kita beri tumpuan kepada masyarakat akar umbi di Sabah dan Sarawak supaya mereka boleh melahirkan ekspresi mereka, apa dalam isi hati mereka yang nak disampaikan kepada masyarakat umum dan kepada kerajaan.

    “Di samping itu juga kita sebagai kerajaan nak sampaikan kepada rakyat (mesej) secara berkesan selain dari (menggunakan) bahasa kebangsaan adalah (juga) melalui bahasa tempatan. Bahasa tempatan cukup berkesan apatah lagi dengan kepelbagaian kumpulan etnik. Di Sabah sahaja 52 kumpulan etnik. Itu yang rasmi. Yang tak rasmi mungkin lebih ramai. Di Sarawak 27 kumpuan etnik.

    “Hari ini, keturunan Kadazan dan Iban hanya boleh mendengar siaran berita dua kali sehari (di RTM) sahaja. Kumpulan-kumpulan lain agak tiada peluang kecuali melalui corong radio sahaja. Tetapi apabila ada saluran TV OKEY yang baharu ini, kumpulan masyarakat seperti Dusun dan Bajau (boleh menonton),“ katanya ketika berucap merasmikan TV OKEY, di sini.

    Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; serta menteri-menteri Kabinet negeri Sabah dan Sarawak.

    Menurut Najib, TV OKEY berkenaan juga akan menjadi pencetus kepada pembangunan industri kreatif di Sabah dan Sarawak secara lebih meluas dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, sekali gus mampu menjana pendapatan kepada negara amnya dan Sabah dan Sarawak khususnya.

    Beliau berkata objektif itu boleh dilakukan dan dicapai kerana rakyat di Sabah dan Sarawak sememangnya terkenal dengan pelbagai kreatif mereka sama ada dalam bidang seni suara, tarian, penulisan skrip drama, penghasilan dokumentari dan sebagainya.

    Katanya, pewujudan TV OKEY berkenaan merupakan satu kaedah baharu supaya kemampuan kreatif rakyat Sabah dan Sarawak dapat dibangunkan dan digilap kerana saluran televisyen ini memberi peluang amat luas melalui tempoh siaran yang lebih banyak untuk kedua-dua negeri berkenaan.

    “Saya percaya banyak lagi bakat-bakat baharu yang sedia ada. Sudah tentu bakat-bakat baharu akan mendapat suntikan semangat untuk mencebur diri dalam bidang berkaitan industri kreatif dan industri kreatif ini kita telah tentukan sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

    “Kita harap bidang ini dapat melahirkan 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dan menyasarkan pendapatan sebanyak RM3.04 bilion (kepada negara),” katanya.

    Menurut Perdana Menteri, industri kreatif negara telah diterima serta mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk di Indonesia dan Amerika Syarikat menerusi produk animasi seperti Upin Ipin dan BoboiBoy.

    Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tertarik dengan nama saluran tv baharu tersebut iaitu OKEY yang merupakan akronim ‘Original, Knowledge, Exciting for Youth’ dan beliau berharap dengan wujudnya saluran tv itu akan menjadi wadah berkesan dalam menangkis berita palsu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

    Saluran TV OKEY boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat umur menerusi platform MyTV 110 dan Astro 109. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " TV OKEY Mesej 2 Hala Untuk Rakyat Sabah, Sarawak "