• Trump Dah Kaya Raya, Tak Pandang Kalau Najib Setakat Rasuah RM5 Juta - Annuar Musa

    Published: Monday, 5 March 2018
    A- A+


    Jangan kata rasuah RM5 juta, RM50 juta sekalipun tidak akan dipandang Donald J Trump berikutan Presiden Amerika Syarikat itu sudah bertaraf multibilionaire, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

    “Kita semua tahu bahawa Trump bukan sekadar seorang Presiden, tetapi beliau juga seorang ushawan yang bertaraf multi billionaire.

    “Takkanlah beliau nak pandang kalau sogokkan setakat RM5 juta atau katalah RM50 juta sekalipun. Apatah lagi, Malaysia bukanlah satu kuasa besar dunia,” katanya.

    Beliau dipetik Utusan Online berkata demikian mengulas dakwaan media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyogok Trump sebanyak RM5 juta bagi mendapatkan sokongan negara kuasa besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

    Tegas Annuar, rekod sudah membuktikan bahawa WSJ sememangnya mempunyai dendam terhadap kerajaan Malaysia terutamanya UMNO semenjak era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berterusan kini pada zaman Najib.

    “Semasa Datuk Seri Anwar masih bersama UMNO, WSJ telah menyerang Anwar. Sama juga ketika Mahathir bersama UMNO, akhbar tersebut juga turut menyerang Mahathir.

    “Dan hari ini, apabila Anwar dan Mahathir keluar parti dan menyerang UMNO, WSJ memberikan sokongan pula kepada Anwar dan Mahathir yang pernah mereka serang dulu".

    Tambahnya, WSJ merupakan ancaman terhadap Malaysia berikutan banyak mengeluarkan berita palsu, separuh benar atau tidak berasas sama sekali.

    “Negara kita menghadapi ancaman dari media asing bukan baru. Sejak dari dulu lagi ada akhbar-akhbar seperti WSJ yang tidak senang Malaysia diperintahkan di bawah UMNO yang membawa corak pemerintahan yang tidak mereka gemari.

    “Mereka ini bagi saya mempunya agenda besar terhadap mana-mana pemerintah yang mempunyai dasar perjuangan dan kiblat yang berbeza dengan nilai dan kiblat yang dijunjung dan dianuti oleh mereka.

    “Namun dalam menghadapi serangan-serangan pihak asing yang mempunyai agenda mereka untuk negara ini, UMNO sejak dari awal penubuhannya sehinggalah ke zaman milenia ini, insyaAllah akan tetap mempertahankan prinsip perjuangannya dan terus membina ketahanan sendiri terutama dalam menghadapi PRU ke 14 akan datang ini,” ujarnya.

    Kenyataan Annuar selari dengan pendapat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang melihat WSJ akan menyokong mana-mana parti politik mahu menggulingkan kerajaan semasa.

    “Semasa Anwar dalam UMNO, WSJ serang Anwar. Semasa Dr. Mahathir dalam UMNO, WSJ serang Dr. Mahathir.

    “Apabila Anwar dan Dr. Mahathir serang UMNO, WSJ pula sokong Anwar dan Dr. Mahathir. Jelas agenda akhbar itu adalah untuk membantu sesiapa sahaja khususnya pembangkang seperti DAP asalkan dapat menumbangkan UMNO,” kata Puad.

    Justeru baginya, laporan terbaharu oleh WSJ itu ternyata merupakan satu fitnah besar sekadar membekalkan ‘senjata murahan’ kepada pihak pembangkang untuk terus memburuk-burukkan Najib dan negara. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Trump Dah Kaya Raya, Tak Pandang Kalau Najib Setakat Rasuah RM5 Juta - Annuar Musa "