• Tokan 'Burger Khayal' Kantoi

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 9 March 2018
    A- A+

    Dua pengedar dadah yang menggunakan gerai burger untuk mengabui mata pihak berkuasa, tumpas selepas mereka ditahan dalam serbuan di gerai berkenaan di Felda Mengkawang, Ajil, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu itu hasil maklumat awam dan pihaknya merampas pil kuda, heroin dan ganja bernilai RM12,700 serta wang tunai RM200 daripada dua suspek berkenaan.

    Ini adalah rampasan terbesar di daerah Hulu Terengganu dalam tiga bulan pertama tahun ini.

    Mohd Adli berkata, bertindak hasil maklumat awam, serbuan dilakukan di gerai burger apabila suspek sedang duduk berdua dalam keadaan mencurigakan di atas gerai kayu di hadapan gerai itu, pada 12.45 tengah malam.

    “Terkejut akibat dikepung anggota polis, dua suspek berkenaan cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga salah seorang daripadanya mengalami calar dan luka di lutut kiri dan siku kanan," katanya pada sidang media di pejabatnya di IPD Hulu Terengganu, Kuala Berang, hari ini.

    Mohd Adli berkata, polis merampas satu beg warna biru gelap yang mengandungi 840 butir pil kuda, lapan botol plastik kuning disyaki heroin dan satu bungkus kecil daun ganja.

    Katanya, dua suspek berusia 27 dan 30 tahun yang didapati sedang khayal akibat pengaruh dadah itu berasal dari Kampung Felda Mengkawang dan mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

    "Siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan dadah dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Mac 14 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, memiliki dadah dan penyalahgunaan dadah.

    “Mereka dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah sejak tahun lalu,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tokan 'Burger Khayal' Kantoi "