• Tokan Antara 9 Individu Ditahan Di Kuching

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+


    KUCHING – Seorang tokan dadah adalah antara sembilan individu yang ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di tiga kampung berasingan di sekitar Kuching dan Kota Samarahan pada Sabtu lepas.

    Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan Madihi Wan Salleh berkata tokan dadah itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Bundong hasil maklumat dan risikan yang telah dijalankan. Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.

    “Hasil pemeriksaan ke atas tokan itu, tiada sebarang dadah atau pil dijumpai.

    “Tokan terbabit dibawa ke pejabat AADK Daerah Samarahan bersama empat lagi individu termasuk sepasang suami isteri yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Mata. Hasil saringan awal mendapati empat daripadanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, tiga daripada lima individu yang berumur antara 20 hingga 35 tahun yang ditahan di Kampung Kudei positif dadah jenis ketamin.

    Katanya operasi yang bermula 7.30 malam dan tamat pada 1.15 pagi itu membabitkan 20 anggota AADK bertujuan membanteras penagih dadah. – BERNAMA

  • No Comment to " Tokan Antara 9 Individu Ditahan Di Kuching "