• TN50: Kanvas Baharu Aspirasi Bersama Rakyat Malaysia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 1 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan menjadi kanvas baharu bersifat inklusif dan sarat di dalamnya dengan aspirasi bersama rakyat Malaysia, khususnya generasi belia masa kini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tonggak penting menjelang kedatangan tahun berkenaan.

    Dalam kata-kata aluan pada laporan ‘Kanvas Belia TN50: Aspirasi Belia Untuk Malaysia Menjelang Tahun 2050’, Najib berkata, melangkah ke hadapan, dunia semakin bergerak pantas dan meniti pelbagai cabaran baharu yang tidak lagi bersifat konvensional.

    “Kerajaan sedar dan telah mengambil langkah pantas. TN50 sebagai satu hala tuju yang membolehkan kita melonjak ke arah mencapai matlamat ‘Top 20 Nations’ di dunia kelak,” katanya.

    Laporan itu memaparkan aspirasi belia dan idea-idea inovatif, datang daripada suara hati akar umbi bagi merealisasikan matlamat TN50 dan masa hadapan Malaysia diimpikan bersama.

    Hampir dua juta belia Malaysia telah didampingi sepanjang 2017 dengan 62,000 aspirasi telah dikumpulkan dalam penyediaan Kanvas Belia TN50, bagi mencerminkan sebuah rupa bentuk Malaysia yang diingini anak muda Malaysia ketika negara melangkah melepasi 2020.

    Kesimpulan laporan itu, antara lain, menyatakan penekanan pada 2018 akan beralih kepada usaha menterjemahkan pelbagai aspirasi rakyat Malaysia ke dalam satu pelan dasar jangka panjang negara, tugas yang akan diterajui Unit TN50 di bawah Unit Perancang Ekonomi.

    Ia akan dibuat dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta, selain masyarakat awam.

    “Kanvas Belia TN50 serta pelbagai input lain akan menjadi asas kepada pelan dasar TN50 yang bakal dilancarkan pada Hari Malaysia 2018,” menurut laporan itu.

    Ia menarik perhatian bahawa sebahagian daripada inisiatif TN50 telahpun diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2018, sekali gus menunjukkan keinginan kerajaan untuk melanjutkan aspirasi kepada tindakan.

    Antara sasaran TN50 berkaitan yang dicadangkan belia ialah melihat tiada perbezaan ketara dalam Indeks Pembangunan antara rantau di Malaysia dan sifar kejadian ketidakcukupan isi rumah mengikut dimensi Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI).

    Di bawah tema Mampan, Malaysia disasarkan menjadi negara yang melindungi sumber semulajadinya termasuk melalui sifar penebangan hutan dan negara neutral karbon dengan majoriti pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui.

    Di bawah tema Bersatu Padu, sasaran TN50 yang diangkat belia ialah untuk melihat tiada polarisasi kaum dalam kalangan warga Malaysia, berkongsi identiti kebangsaan yang kukuh, selain rakyat bekerja, hidup dan bermain bersama.

    Sasaran TN50 yang dilontarkan belia bagi tema Bertanggungjawab, termasuk Malaysia diiktiraf antara 20 negara teratas dalam Indeks Tadbir Urus Terbuka oleh Projek Keadilan Dunia, selain semua syarikat Malaysia dikehendaki mempunyai dasar tanggungjawab sosial.

    Di bawah tema Prihatin, antara sasaran TN50 yang diletakkan belia ialah agar sikap hormat menghormati dan bertimbang rasa diiktiraf dan diamalkan sebagai nilai teras oleh orang tua dan muda.

    Mereka juga menuntut supaya hubungan keagamaan dan perkauman Malaysia terkenal dengan elemen kesederhanaan, pemikiran kritikal dan dialog. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " TN50: Kanvas Baharu Aspirasi Bersama Rakyat Malaysia "