• Tiga pelajar Al Maad harumkan negara di Beijing

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 28 March 2018
    A- A+


    KANGAR: Sekolah Menengah Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al Maad) sekali lagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selepas peroleh emas di Beijing Youth Science Creation Competition (BYSCC) 2018 di Universiti China dan Sains Beijing, semalam.

    Al Maad yang diwakili Nur Aisyah Nazri, Najah Zakaria dan Nurul Athirah Md Shukri yang berusia 16 tahun, berjaya memikat juri pada pertandingan berkenaan menerusi hasil ciptaan yang diberi nama Heal Mask.

    Ciptaan mereka menewaskan peserta daripada 19 negara lain seperti, Thailand, Ukraine, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Denmark dan Taiwan.

    Ketua kajian merangkap guru pengiring mereka, Mohd Faizal Zainul, 36 ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, berkata produk yang dikaji bersama-sama pelajar sekolah lamanya itu mengambil masa hampir setahun untuk diuji keberkesanannya.

    "Heal Mask bertindak sebagai topeng mulut menapis udara kotor, gas bahaya, malah bakteria dan debu halus yang terperangkap di udara kepada pemakainya.

    "Malah topeng ini turut berfungsi merawat pemakai yang menghidap selesema akibat debu halus dan bakteria udara melalui gabungan aroma terapi yang diletakkan di dalam topeng terbabit," katanya.

    Menurut Mohd Faizal, Heal Mask dilihat sebagai satu rekaan yang praktikal dan penting keperluannya dalam industri pembuatan dan pembinaan.

    "Uniknya, Heal Mask ialah penapis debu yang diletakkan di dalam topeng mulut itu 100 peratus dibuat daripada hampas tebu yang diproses.

    "Secara tidak langsung Heal Mask tergolong dalam produk hijau, mesra alam dan tidak mengambil masa lama untuk dilupuskan berbanding topeng mulut lain yang menggunakan polister atau plastik sebagai penapis debu," katanya.

    Mohd Faizal berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) yang menaja tiket penerbangan dan penginapan ke Beijing.

    "Kerjasama antara kami bersama-sama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dilihat sebagai satu platform dalam penghasilan produk.

    "Melalui kerjasama ini secara tidak langsung membantu pelajar di sekolah dalam menghasilkan rekaan produk bertaraf antarabangsa dan praktikal untuk digunakan dalam industri," katanya.

    Pada Disember 2017, tiga produk berasaskan herba yang dihasilkan oleh lima pelajar Al Maad memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu Anugerah Khas di Pameran Rekaan dan Rekacipta Peringkat Antarabangsa 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan.

    Tiga produk itu ialah Herbal Rodents Dispel (HRD), produk menghalau tikus; Smart Organic Fertilizer (SOFT), baja tanaman organik dan Herbal Treatment Gel (HTG), berfungsi sebagai ubat merawat luka menggantikan plaster.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga pelajar Al Maad harumkan negara di Beijing "