• Tiga Ahli Parlimen DAP Diarah Keluar Dewan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 26 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) hari ini diarahkan keluar daripada sidang Dewan Rakyat untuk tempoh selama 10 hari oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

    Keputusan itu dibuat selepas ketiga-tiga mereka pada 7 Mac lalu membuat kenyataan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan, langkah yang disifatkan telah menghina Dewan Rakyat.

    “Tindakan ketiga-tiga Ahli Parlimen membuat kenyataan tidak wajar serta enggan memohon maaf merupakan satu perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat dan mencemarkan prestij Dewan Rakyat.

    “Justeru itu, saya memerintahkan ketiga-tiga Ahli Parlimen keluar dari Majlis Mesyuarat selama 10 hari bermula hari ini, Isnin 26 Mac,” kata Ronald ketika mengarah mereka meninggalkan sidang Dewan Rakyat pagi ini.

    Keadaan menjadi kecoh seketika apabila Koo Ham dan Sivakumar meminta penjelasan Timbalan Yang Dipertua, sebelum akhirnya akur dan keluar dari Dewan Rakyat.

    Tiga ahli DAP sebelum ini menuntut Pandikar Amin meletakkan jawatan kerana menolak usul segera berhubung ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1Malaysia Develpment Berhad dan enggan memohon maaf atas tindakan mereka. – UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Tiga Ahli Parlimen DAP Diarah Keluar Dewan "