• Terkejut Didaftar Anak Sertai Kem Dapat Jodoh

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 3 March 2018
    A- A+

    “Penyertaan saya di Kem Dapat Jodoh ini diaturkan oleh anak sendiri dan mungkin ini yang mereka mahukan untuk saya mencari kebahagiaan,” kata Norila Mansor, 46.

    Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu antara peserta yang mengikuti kem mencari ‘cinta’ selama satu hari yang dianjurkan NDA Training Consultancy di Putrajaya.

    Norila berkata, dia tidak menyangka apabila anaknya memaklumkan namanya sudah didaftarkan di kem berkenaan dan dia perlu mengikuti kursus dianjurkan pihak penganjur.

    “Saya agak terkejut apabila dimaklumkan mengenai kem ini namun saya berterima kasih kepada mereka kerana mereka mahu saya gembira dan bahagia.

    “Namun, niat saya untuk menyertai kem ini bukan semata-mata mahu mencari jodoh tetapi saya mahu menambah ilmu yang dapat membantu saya mengubah diri menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui pada program Kem Dapat Jodoh di Putrajaya, hari ini.

    Kem yang disertai lebih 500 peserta dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Terengganu itu memberi peluang kepada individu Muslim yang belum berkahwin untuk mencari jodoh.

    Dalam pada itu, Norila berkata, selepas dua kali gagal mempertahankan perkahwinan, dia kini mahu mencari ketua keluarga yang boleh membimbingnya dalam bidang agama.

    “Kalau boleh saya mahukan lelaki yang boleh mendidik saya mengenai agama dan bukan hanya kerana nafsu semata-mata,” katanya.

    Sementara itu, pengasas kem berkenaan, Nor Daayah Abdullah berkata, penganjuran itu usaha pihaknya untuk membantu mereka yang mahu mencari pasangan yang halal.

    Nor Daayah berkata, kem pertama yang dilaksanakan pihaknya itu menerima sambutan yang amat menggalakkan sehingga mereka terpaksa mengehadkan penyertaan peserta.

    “Melalui kem ini, peserta didedahkan cara mempersiapkan diri secara fizikal, mental dan kewangan sebelum mereka mencari pasangan selain mempelajari kaedah mengatasi kelemahan masing-masing.

    “Selain itu, kita juga mengaturkan sesi taaruf kepada peserta untuk mereka berkenalan dengan pasangan yang mereka berkenan tetapi mengikut landasan yang ditetapkan agama,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya juga bercadang memperluaskan lagi kem berkenaan melalui sesi jelajah di enam lokasi bermula akhir April depan di Perak, Johor, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur dan Sabah.

    “Kami tidak menjanjikan peserta akan bertemu jodoh tetapi ini adalah platform untuk membantu rakan Muslim yang bujang saja mencari pasangan,” katanya.

    Katanya orang ramai yang berminat untuk menyertai kem ini boleh mendapat maklumat lanjut di Facebook Nor Daayah Legasi Semut Merah ‘LSM’.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Terkejut Didaftar Anak Sertai Kem Dapat Jodoh "