• Terjatuh, Terseret, Maut

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    Remaja perempuan yang maut selepas terjatuh dari kereta api bergerak di Batu 62, dekat Beaufort, semalam, dalam perjalanan pulang dari Beaufort ke Tenom selepas menghadiri majlis perkahwinan keluarga.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Intan Suraya Ambran, 15, terjatuh daripada kereta api dan terseret sejauh 50 meter.

    Akibat daripada kemalangan itu, mangsa parah di anggota badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Difahamkan, mangsa pulang ke Tenom bersama sepupunya berusia 19 tahun.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, hasil siasatan awal mendapati, mereka menaiki kereta api itu pada 1.30 tengah hari dari Stesen Keretapi Beaufort ke Tenom.

    "Ketika menaiki gerabak pertama (bahagian kepala), gerabak penumpang itu didapati penuh.

    "Mangsa dan sepupunya mengambil keputusan untuk berdiri di tepi pintu gerabak dan dalam 10 minit perjalanan, mereka duduk kerana kereta api bergoyang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Azmir berkata, mangsa dilihat duduk di sebelah kiri pintu dengan keadaan lututnya sedikit keluar daripada gerabak.

    "Apabila tiba di lokasi kejadian, sepupu mangsa terdengar jeritan mangsa dan sebaik menoleh, mangsa tersangkut di sebatang kayu dan jatuh ke tanah manakala kakinya termasuk di landasan kereta api.

    "Penumpang dalam kereta api turut menjerit sebelum kereta api diberhentikan, manakala mangsa cuba bangun, namun tidak berdaya," katanya.

    Tambah Azmir lagi, laporan polis dibuat pada 2.15 petang dan pegawai penyiasat tiba di lokasi kira-kira 3 petang.

    "Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

    "Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Beaufort dengan kereta api itu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

    Terdahulu, hasil siasatan awal di lokasi kejadian juga mendapati sebatang kayu kering rebah ke arah landasan kereta api, di mana terdapat kesan tanah runtuh di situ.

    "Dipercayai hujung kayu itu telah patah betul-betul hampir ke badan gerabak dan terkena pada lutut mangsa yang duduk di tepi tangga gerabak.

    "Mangsa terjatuh dan terseret sejauh kira-kira 50 meter manakala kaki kirinya bergesel pada landasan kereta api menyebabkannya parah serta meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Terjatuh, Terseret, Maut "