• Tempoh Kempen PRU14 Ambil Kira Musim Perayaan

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR — Penentuan tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk musim perayaan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

    Beliau berkata selain mesti memenuhi peraturan 11 hari tempoh minimum berkempen yang ditetapkan, SPR tidak boleh menetapkan tempoh berkempen mengikut kehendak mana-mana parti politik yang akan bertanding,

    “Daripada segi tempoh, bergantung kepada kuasa SPR. Bagi SPR,kita perlu lihat banyak aspek. Perlu lihat kalender, PRU jatuh pada bulan apa…adakah pada bulan puasa atau hari raya? Ini semua kita perlu ambil kira.

    “Kalau tanya saya, saya setuju sahaja, (tempoh kempen) panjang tidak apa, pendek pun tidak apa tetapi kita mengharapkan supaya ada etika dalam berkempen,” katanya pada sesi soal jawab dalam Taklimat Media dan Pilihan Raya di Wisma Bernama di sini, hari ini.

    Mohd Hashim berkata demikian ketika menjawab soalan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh mengenai permintaan sesetengah parti politik yang mahu tempoh kempen yang lebih panjang pada PRU14.

    Mengenai kempen undi rosak yang tular di media sosial baru-baru ini, Mohd Hashim berkata golongan berkenaan tidak sepatutnya meluahkan kemarahan dengan cara itu sebaliknya, menggunakan kuasa mereka sebagai pengundi untuk memilih pentadbiran negara.

    Beliau berkata dengan negara sudah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun dan bakal mengadakan PRU yang ke-14, gerakan seperti itu tidak wajar berlaku.

    “SPR tidak rugi apa-apa. Hendak marah kepada parti politik? Itu bukan caranya, sepatutnya jika marah kepada parti politik, mengundilah,” katanya.

    Dalam PRU13, Mohd Hashim berkata sebanyak 173,868 atau 1.3 peratus undi telah ditolak daripada keseluruhan 13.26 juta pengundi antaranya kerana kertas undi diconteng sehingga tidak diketahui calon mana yang dipilih atau akibat memangkah kesemua calon pada kertas undi.

    “Jadi, pada PRU14 ini, adakah perkara yang sama akan dibuat atau hendak merancakkan lagi keadaan sebegitu?” katanya sambil meminta kerjasama pihak media membantu SPR untuk memberi kesedaran kepada pengundi mengenai perkara itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tempoh Kempen PRU14 Ambil Kira Musim Perayaan "