• Telang Usan Terus Berkembang Selepas Dinaiktaraf Sebagai Daerah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 6 March 2018
    A- A+

    Telang Usan mungkin agak asing bagi rakyat Sarawak suatu ketika dahulu namun sekarang segala-galanya berubah selepas kawasan tersebut dinaiktaraf sebagai daerah bermula tahun 2015.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, sejak itu kawasan Telang Usan terus berkembang dan mengecapi pembangunan seperti kawasan lain.

    Malah menurutnya, pegawai daerah Baru Tai telah memainkan peranan penting bersama pasukannya dan agensi kerajaan lain dalam menggembangkan kawasan berkenaan.

    "Pegawai daerah kita dan pasukannya dari Pejabat Daerah Telang Usan bersama semua agensi bekerja keras untuk membawa Telang Usan ke tahap kemajuan lebih tinggi selari dengan hasrat Ketua Menteri yang menumpukan kepada pembangunan kawasan luar bandar Sarawak.

    "Kita bersyukur dengan proses naiktaraf Telang Usan kepada daerah penuh dan juga pelantikan pegawai daerah yang merupakan anak tempatan selain biasa dengan kawasan ini," katanya seperti yang dilaporkan Utusan Borneo.

    Dennis memberi jaminan kepada penduduk kawasan tersebut, lebih banyak program dan aktiviti akan berlangsung di Telang Usan sebagai menunaikan janji kerajaan negeri semasa pengumuman Telang Usan menjadi daerah.

    "Dengan lebih banyak agensi kerajaan membuka pejabat di sini, saya yakin Daerah Telang Usan akan menjadi pusat perkhidmatan kerajaan terpenting di Sarawak," ujarnya.-Sarawakiana




  • No Comment to " Telang Usan Terus Berkembang Selepas Dinaiktaraf Sebagai Daerah "