• Teknologi & Internet Banyak Mengubah Cara Dunia Bekerja - Naroden

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 7 March 2018
    A- A+

    KUCHING: Teknologi dan internet telah banyak mengubah cara dunia bekerja kata Menteri Muda E-Dagang merangkap Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais.

    Menurutnya, menerusi teknologi dan internet dalam bentuk visual dan video boleh diperolehi dengan pantas serta tepat.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya lagi, rakyat Sarawak khasnya golongan usahawan harus memanfaatkan teknologi dan kuasa internet dalam menggembang serta memajukan lagi bidang diceburi.

    “Dulu kita hanya boleh mendapat maklumat daripada surat khabar, buku, jurnal dan sebagainya tetapi sekarang keadaan sudah jauh berbeza.

    “Apa sahaja maklumat yang diperlukan boleh didapati melalui teknologi dengan menekan butang atau tetikus komputer atau telefon pintar,” katanya.

    Tambahnya, oleh kerana Sarawak sudah memasuk era ekonomi digital, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenalkan dasar pembangunan berlandaskan ekonomi digital.

    “Sebab itu juga, beliau (Abang Johari) dengan berani melabur RM1 bilion untuk menguatkan lagi kuasa Internet di seluruh Sarawak termasuk kawasan pedalaman bagi membolehkan semua rakyat mendapat maklumat secara dalam talian,” katanya.

    Naroden turut berkata beliau percaya komuniti niaga sudah memahami penggunaan teknologi digital dalam urusan perniagaan terutama dalam perhubungan, perbincangan, membuat keputusan, pengiklanan, transaksi kewangan dan banyak lagi.

    “Sebenarnya Internet memberi kita semua tahap gelanggang permainan yang sama rata, tidak kira di mana kita berada sama ada di bandar atau pedalaman, tidak kira besar atau kecil syarikat dikendalikan.

    “Ini kerana semua kita berupaya menggunakan internet dan teknologi di tangan kita untuk mengiklan, mendapat maklumat dan berhubung dalam perniagaan kita,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Teknologi & Internet Banyak Mengubah Cara Dunia Bekerja - Naroden "