• Tangani Masalah Remaja Hamil Di Sarawak Melalui Program Kesedaran

    Published: Tuesday, 20 March 2018
    A- A+

    Dalam usaha menangani masalah remaja hamil tidak berkahwin di Sarawak yang kini semakin meningkat pihak Kementerian Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memandang serius mengenai peningkatan bilangan kes tersebut.

    Oleh yang demikian, pihak kementerian telah meningkatkan usaha menangani masalah tersebut menerusi beberapa program kesedaran, advokasi dan pencegahan bersama rakan-rakan strategik kementerian bagi menurunkan bilangan kes remaja hamil di semua bahagian.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, Sarawak kini masih mencatat peratusan kes remaja hamil paling tinggi iaitu 6.4 peratus hingga 9.9 peratus daripada jumlah ibu mendaftar hamil berbanding 2.4 peratus sehingga 4.1 peratus di negara ini.

    Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, statistik daripada Jabatan Kesihatan Sarawak menunjukkan pada 2017 sejumlah 2,130 kes remaja hamil telah direkodkan di Sarawak.

    Jesteru, kementerian telah menetapkan KPI bagi penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding tahun sebelumnya.

    Dalam pada itu, sebanyak tiga bahagian di Sarawak mencatat kenaikan atau tiada berubah kepada bilangan kes remaja hamil pada 2017 berbanding 2016 iaitu Sibu (tiada perubahan) Limbang (meningkat 17.3 peratus) dan begitu juga Sri Aman yang mencatat peningkatan sebanyak 56.7 peratus (33 kes) berbanding 2016.

    Sehubungan itu, dengan adanya penubuhan Jawatankuasa ‘One-Stop Teenage Prenancy Committee’ (OSTPC) sejak 2014 adalah inisiatif bagi menyelaras pengurusan dan penyelesaian kes remaja hamil secara sehenti oleh rakan-rakan strategik kementerian.

    “Bagi memastikan kes remaja hamil diurus dengan lebih berkesan khususnya di peringkat bahagian, OSPTC menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) antara agensi dengan mewujudkan Panduan Pengurusan Remaja Hamil di Sarawak yang dilancarkan pada 10 Ogos 2017,” katanya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Tangani Masalah Remaja Hamil Di Sarawak Melalui Program Kesedaran "