• Sukar Bagi Sarawak Percaya Manifesto Pembangkang

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 10 March 2018
    A- A+

    KUCHING – Dalam banyak-banyak isu yang diungkit pembangkang yang kononnya akan ditangani jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14), bagi ‘orang Sarawak’ isu paling utama yang menjadi titik tolak segalanya pasti berkisar kepada kepentingan Sarawak.

    Realitinya isu yang paling dekat di hati penduduk Bumi Kenyalang ini adalah isu-isu berkaitan hak kerajaan negeri mengikut Perjanjian Malaysia (MA63), pengagihan perbelanjaan pembangunan, soal operasi Petronas di Sarawak, soal penurunan kuasa dan sebagainya.

    Isu ini antara yang sengaja disentuh dalam manifesto pembangkang untuk PRU14, yang menyelitkan agenda mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai satu daripada lima teras utama janji mereka sekiranya mengambil alih pentadbiran negara.

    “Jika saya jadi pembangkang, saya pun akan kata begitu, propaganda dalam isu sebegini adalah mainan semula jadi pembangkang,” kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Sarawak, Abdullah Saidol kepada media ketika ditemui pada satu majlis di sini semalam.

    Beliau berkata mandat yang diberikan kepada BN Sarawak untuk mentadbir negeri kini berbaki sekitar tiga tahun lagi sebelum hak memilih dikembalikan kepada rakyat, dan dalam tempoh inilah kerajaan negeri akan meneruskan kesinambungan ‘rundingan’ dengan kerajaan persekutuan untuk mengembalikan hak kerajaan Sarawak mengikut MA63 sekiranya ada yang terhakis.

    Katanya Sarawak benar-benar berharap kepimpinan negara sedia ada terus diberikan mandat untuk mentadbir negara kerana kerajaan sedia ada dilihat sangat “mesra” dengan Sarawak, mudah untuk dibawa ke meja rundingan.

    “Saya tidak tahu (andai pembangkang tadbir negara) dengan siapa mereka akan runding berkaitan hak kerajaan negeri ini. Mereka boleh buat apa saja jawatankuasa sebesar mana yang mereka mahu, tapi apabila hendak berunding nanti, mereka perlu berunding dengan kerajaan negeri yang ditadbir BN. Jadi soalnya adakah penduduk Sarawak sanggup ambil risiko berunding dengan pihak lain yang tidak semesra BN mengenai haknya,” katanya.

    Antara isi manifesto pembangkang yang dilancarkan semalam ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas Kabinet bagi menyemak dan melaksanakan MA63, yang antara lain akan berbincang untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap MA63 dalam sistem pendidikan, melaksanakan konsep federalisme, dan sebagainya.

    Bagi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing, hakikatnya jika pembangkang mengambil alih, kepimpinan negara akan diterajui oleh pemimpin yang dipilih mereka yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun, yang tidak “mesra Sarawak”.

    Beliau jelas meragui segala janji PH untuk Sarawak kerana menurutnya sejarah membuktikan jika pemimpin sama yang dijulang pembangkang yang pernah mentadbir negara 22 tahun lalu diberi peluang sekali lagi untuk menerajui negara – “Sarawak tidak akan ke mana”.

    Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini dilihat bekerja keras untuk kepentingan Sarawak, terutama dalan isu berkaitan mengembalikan hak kerajaan negeri yang termaktub mengikut MA63 sekiranya ada yang terhakis.

    Menurutnya rundingan Abang Johari dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung dengan baik sekali, kerana Perdana Menteri dilihat ikhlas, jelas sedia mendengar apa yang dibangkitkan kerajaan negeri – dengan syarat rundingan adalah ‘dalam keluarga besar BN’.

    Sementara itu isu yang ditempatkan paling atas dalam agenda manifesto itu yang dirasakan oleh pakatan itu paling ‘menyentuh’ sanubari seluruh negara ialah mengenai janjinya untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun hakikatnya janji itu juga dicurigai ramai.

    Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata janji untuk menghapuskan GST adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi kerana ia juga membantu perbelanjaan negara.

    “Berdasarkan kemampuan kewangan yang ada, tidak mungkin pembangkang boleh menepati janji-janji yang keterlaluan,” katanya.

    Prof Madya Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga dilihat senada apabila menganggap pemansuhan cukai itu adalah sesuatu yang tidak relevan, dibangkitkan hanya sebagai cubaan pembangkang untuk memancing undi.

    “Mansuhkan GST memang tidak relevan, sedangkan sebelum Malaysia laksanakan GST, banyak negara lain sudah melaksanakannya. Hasilnya sangat positif dan menyelamatkan ekonomi negara daripada keadaan tenat,” katanya.

    Beliau berkata dalam konteks ini, ternyata pembangkang hanya pandai menabur janji manis untuk memperdayakan rakyat dengan manisfesto yang tidak mungkin terlaksana. – BERNAMA

  • No Comment to " Sukar Bagi Sarawak Percaya Manifesto Pembangkang "