• Status Masjid Al-Aqsa Perlu Dikekalkan – Raja Muda

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 23 March 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap status quo Masjid al-Aqsa sebagai tempat ibadat umat Islam terus kekal dan pihak berkepentingan menghentikan usaha untuk mengubahnya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berharap agar semua pihak sentiasa mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu- gugat keamanan dan kedamaian umat Islam sejagat.

    Baginda bertitah demikian ketika menerima mengadap Duta Besar Jordan ke Malaysia, Thamer Adwan di sini malam tadi.

    “Kunjungan umat Islam ke Masjid al-Aqsa adalah signifikan kepada kesatuan umat Islam terhadap status kesucian al-Aqsa selain turut membantu ekonomi umat Islam di Palestin,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.

    Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataan yang sama, berkata MAIPs dan kerajaan Jordan akan bekerjasama melalui Kementerian Wakaf Jordan bagi memastikan sumbangan untuk penyelenggaraan Masjid al-Aqsa yang diamanahkan kepada MAIPs akan sampai kepada sasarannya.

    Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor pula turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan kepada Masjid al-Aqsa melalui MAIPs.

    Kenyataan itu tidak menyebut jumlah sumbangan yang terkumpul setakat ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Status Masjid Al-Aqsa Perlu Dikekalkan – Raja Muda "