• Status Istimewa Dua Masjid London

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+

    LONDON – Dua masjid di London menerima status khas sebagai pengiktirafan kepentingan seni bina dan sejarahnya, menunjukkan pengiktirafan kerajaan Britain terhadap warisan budaya masyarakat Islam di negara itu.

    Masjid Pusat London ditadbir Pusat Kebudayaan Islam di Regent’s Park di tengah London dan Masjid Fazl di Southfields, disenaraikan sebagai bangunan Gred II oleh Jabatan Warisan Britain.

    Status khas itu dianugerahkan hanya kepada 5.8 peratus daripada kira-kira 500,000 bangunan tersenarai di England kerana dianggap tapak penting.

    “Melalui penyeraian masjid yang indah itu, kami bukan saja memelihara tempat ibadat tetapi juga meraikan kekayaan warisan masyarakat Islam di negara ini,” kata Menteri Warisan, Michael Ellis.

    Dana untuk menubuhkan masjid di tengah London itu dimulakan pada 1910, namun lokasinya di Regent’s Park itu hanya dipilih pada 1940 sebelum siap dibina pada 1977.

    Masjid Fazl adalah ibu pejabat komuniti Islam berfahaman Ahmadiah dan menjadi masjid pertama dibina di London yang dibuka pada 1926.

    Menurut Jabatan Warisan Britain, ada kira-kira 1,500 masjid di negara itu.

    Sementara itu, Masjid Shah Jahan yang di bina pada 1889 di Woking, barat daya London, dinaik taraf kepada Gred 1, setaraf dengan Istana Buckingham. – AFP/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Status Istimewa Dua Masjid London "