• STAGG selamatkan 11 pengemis kanak-kanak Rohingya

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+



    KUALA LUMPUR: Skuad Taktikal Khas 3, Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman menyelamatkan 11 kanak-kanak dalam Ops Som - pengemis warga Rohingya.

    Operasi yang diadakan di Bukit Bintang, dekat sini malam tadi berjaya menyelamatkan tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan warga Rohingya berusia antara dua hingga 16 tahun yang dikerah sebagai peminta sedekah.

    Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata kegiatan 11 kanak-kanak dipercayai dikerah oleh penjaga mereka untuk meminta sedekah serta menjual tisu kepada orang ramai itu sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu.

    Katanya, STAGG yang menyedari kegiatan itu kemudian melakukan pemantauan dan risikan sejak November lalu bagi mengenal pasti aktiviti harian serta lokasi penginapan mereka.

    "Modus operandi kumpulan peminta sedekah itu setiap hari adalah dengan menjual tisu dan surah yasin kepada orang ramai sekitar Bukit Bintang dan KLCC selain meminta derma.

    "Jadi, bertindak atas maklumat yang kita kumpul, malam tadi kita menggerakkan satu pasukan untuk menahan mereka," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

    Mohd Nadzri berkata, setiap hari kumpulan warga Rohingya terdiri daripada 11 kanak-kanak bersama lima penjaga iaitu seorang lelaki dan empat wanita itu akan menaiki bas dari rumah mereka di sebuah flet di Jalan Ampang sekitar 7 petang ke KLCC serta Bukit Bintang.

    Katanya, apabila sampai di lokasi meminta sedekah, lima penjaga berkenaan akan duduk di laluan pejalan kaki bagi memantau 11 kanak-kanak itu yang dibiarkan berkeliaran meminta sedekah daripada orang ramai termasuk pelancong asing sehingga jam 11 malam.

    "Kesemua kanak-kanak berkenaan bukan sahaja mengemis, sebaliknya diajar untuk mendesak serta memaksa orang ramai termasuk pelancong untuk memberikan duit dengan cara menarik baju bagi meraih simpati. Setiap malam, mereka memperoleh sekitar RM80 hingga RM90," katanya.

    Tambah Mohd Nadzri, dalam operasi malam tadi, pihaknya terpaksa mengejar kumpulan kanak-kanak itu apabila kehadiran anggota STAGG disedari mereka.

    Katanya, ketika ditahan kesemuanya cuba berdolak-dalih dengan menyatakan tidak mengenali antara satu sama lain.

    "Operasi malam tadi sedikit sukar berikutan kesemua kanak-kanak berkenaan cukup licik melarikan diri. Jadi, berlaku aksi kejar-mengejar dengan mereka sebelum kesemuanya berjaya kita tahan," katanya.

    Beliau berkata, lima penjaga berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan mereka termasuk kanak-kanak itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63.

    Katanya, dalam operasi itu, STAGG turut merampas sembilan kad UNHCR, lapan unit telefon, 32 surah yasin, 20 bungkus tisu kecil serta wang tunai berjumlah RM532.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " STAGG selamatkan 11 pengemis kanak-kanak Rohingya "