• SPRM Sedia Semak, Teliti Manifesto PRU-14

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 14 March 2018
    A- A+

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada halangan sekiranya diminta untuk menyemak dan meneliti manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh mana-mana parti politik supaya bebas unsur rasuah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata namun terpulang kepada parti politik menghantar senarai manifesto mereka untuk disaring.

    Walaupun secara sukarela, beliau berkata, adalah lebih baik manifesto itu disaring terlebih dahulu sebelum dibentang atau dilaksanakan.

    "Saringan adalah sukarela, terpulang kepada mana-mana parti untuk menghantar sama ada (senarai) calon sekalipun.

    "Dari segi manifesto pula, terpulanglah. Kita tidak ada nak campur mana-mana urusan parti. Namun, seelok-eloknya mana-mana parti pun patut menghantar senarai untuk dibuat tapisan.

    "Sama ada mereka (parti politik) nak pilih, itu terpulang kepada mereka, kita tidak akan tentukan. Kita hanya melaksanakan tugas membuat saringan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPAN) Selangor di Auditorium Ungku A Aziz, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, dan Pengerusi JPAN Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah.

    Seramai 150 orang terdiri daripada pengetua sekolah dan guru koperasi dengan diketuai Mohd Alias, berikar melaksanakan tanggungjawab diamanahkan secara jujur, berdedikasi serta berintegriti.

    Dalam pada itu, Shamsun berkata, pihaknya hingga kini belum menerima senarai calon PRU-14 untuk menjalani saringan SPRM daripada mana-mana parti bukan pemerintah.

    Meskipun isu berkenaan sudah lama, beliau berkata, perlu ada nilai tanggungjawab untuk menghantar senarai calon untuk disaring SPRM.

    "Kita menggalakkan parti, tidak kira pemerintah atau pembangkang ketika ini, untuk menghantar (senarai) calon supaya kita dapat memberi jawapan kepada pihak berkaitan untuk mereka laksanakan tindakan selanjutnya.

    "Ini adalah perkara sukarela, kita tidak perlu berhubung dengan mana-mana parti. Jadi, kalau dia (parti) berasa hendak memastikan calonnya ada integriti, dia hantarlah," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM Sedia Semak, Teliti Manifesto PRU-14 "