• SPRM pantau koperasi bawah ANGKASA

    Published: Monday, 19 March 2018
    A- A+

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sebanyak 156 kes rasuah yang membabitkan koperasi di negara ini dari tahun 2015 hingga Februari lalu.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata daripada jumlah itu sebanyak 13 kertas siasatan dibuka untuk siasatan lanjut.

    "SPRM juga membuat tangkapan berhubung kes rasuah dalam kalangan kakitangan koperasi.

    "Walaupun tidak banyak (kes rasuah), namun kita memandang serius terhadap isu ini dengan mengambil langkah pencegahan," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Seminar Kepimpinan dan Integriti Koperasi Negeri Kelantan dan Ikrar Bebas Rasuah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini, hari ini.

    Turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Perhubungan ANGKASA Kelantan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa.

    Shamshun Baharin berkata, SPRM akan membuat pemantauan di semua koperasi termasuk di sekolah untuk mencegah gejala rasuah.

    "Kita mahu menangani gejala rasuah dalam kalangan koperasi ini di peringkat sekolah lagi termasuk pelajar.

    "SPRM juga memantau semua agensi dan organisasi supaya tidak terbabit dengan rasuah. Kita minta semua pihak memberi kerjasama melaporkan isu rasuah atau salah guna kuasa," katanya.

    Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya bekerjasama dengan SPRM untuk memantau koperasi di bawah ANGKASA sebanyak 13,948 buah yang membabitkan 7 juta ahli dengan nilai aset RM135 billion.

    "Dalam pemilihan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi di peringkat kebangsaan dan negeri, calon perlu lulus tapisan keutuhan dengan SPRM untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang salah laku.

    "Langkah ini diambil supaya pemimpin koperasi mempunyai tahap integriti yang tinggi kerana orang ramai menaruh kepercayaan kepada mereka," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM pantau koperasi bawah ANGKASA "