• SPR Tiada Kuasa Sekat Pasang Bahan Kempen

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 22 March 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak berhubung pemasangan bendera atau semua bentuk bahan kempen sebelum proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bermula.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, sebarang tindakan terhadap pemasangan semua bentuk bahan kempen yang wujud sebelum PRU-14 adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana proses pilihan raya masih belum bermula.

    "SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak untuk mengarahkan poster atau bendera diturunkan kerana proses pilihan raya belum bermula.

    "Ini kerana kuasa diperuntukkan kepada SPR hanya boleh dikuat kuasa ketika tempoh rasmi kempen pilihan raya selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Hashim, tempoh rasmi kempen pilihan raya hanya bermula pada hari penamaan calon dan berakhir pada tengah malam sebelum hari mengundi.

    "Dalam hal ini, SPR menasihatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi setiap peraturan dan undang-undang sedia ada seperti ditetapkan PBT dan mana-mana pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat," katanya. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " SPR Tiada Kuasa Sekat Pasang Bahan Kempen "